Umno mempersoalkan tindakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) memaklumkan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (Eurocham Malaysia) kemungkinan penutupan penuh ekonomi.
Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan menggesa penjelasan kerajaan sama ada langkah itu benar-benar akan dilakukan sekiranya situasi Covid-19 masih tidak menunjukkan perubahan selepas 4 Feb nanti.
“Kenapa Miti beri info (maklumat) kepada Eurocham dahulu? Kenapa Miti beri info berkenaan pengesyoran Kementerian Kesihatan (KKM)? Bukankah sepatutnya rahsia, terutamanya jika ia hanya pengesyoran dan belum lagi keputusan?
“Kemudian setelah ‘bocor’, di manakah penjelasan rasmi kerajaan kepada rakyat?
“Khabar seperti ini yang disampaikan oleh pihak lain boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat Malaysia. Tambahan lagi, kes harian cecah 4,275 semalam, angka paling tinggi semenjak penularan. Hari ini kes masih tinggi pada paras 3,346,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, menerusi surat pekeliling yang dibocorkan oleh ketua pegawai eksekutif Eurocham Malaysia, Sven Schneider, ia mengatakan kerajaan telah memberitahu bahawa Kementerian Kesihatan telah membuat “pendirian yang jelas mengenai hal penutupan ekonomi sepenuhnya”.
“Jika kadar jangkitan tidak berkurang, kerajaan akan mengumumkan penutupan/sekatan pergerakan ketat serta-merta selepas 4 Feb.
“Inilah situasi semasa yang sedang kita hadapi dan Miti meminta semua syarikat, sama ada tempatan atau dari luar, untuk menyertai usaha mengurangkan jangkitan, memutuskan rantaian, dan agar ekonomi terus berjalan,” menurut surat itu.
Selepas surat berkenaan tular, Eurocham tampil memberi penjelasan mengenai surat yang dikirimkan kepada anggotanya itu.
Dalam satu kenyataan, badan itu menegaskan bahawa pekeliling dalaman sulit yang dihantar kepada anggota mereka itu susulan pertemuan tidak rasmi dengan Miti.
Jelas Eurocham, surat itu tidak menyebut penutupan ekonomi akan dilaksanakan serta-merta.
“Eurocham Malaysia ingin menjelaskan bahawa meskipun Miti memaklumkan situasi yang semakin mendesak saat ini, memandangkan jumlah kes yang semakin meningkat, tidak ada disebut mengenai penutupan ekonomi serta-merta selepas 4 Februari.
“Oleh itu, kami harap agar orang ramai tetap fokus pada gambaran yang lebih besar – dalam menggalas tugas bersama bagi memastikan agar penutupan ekonomi dapat dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu Shahril berkata, kerajaan perlu menjelaskan perkara itu dengan segera.
“Tetapi jika benar, kerajaan perlu berterus terang dengan rakyat.
“Berikan masa yang mencukupi untuk bersiap sedia jika memang ada niat mahu melaksanakan ‘lockdown’ yang lebih ketat,” katanya.