JIKA PEMILIHAN SEBELUM PRU15, ZAHID HAMIDI HARUS DIKEKAL ATAU UMNO PERLU PEMIMPIN BARU SEBAGAI PRESIDEN?

 

Siapa yang harus menerajui UMNO jika pemilihan parti diadakan sebelum tarikh PRU15 diumumkan?

Dengan pelbagai desakan mahukan Ahmad Zahid Hamidi berundur sebagai Presiden UMNO, ia adalah gambaran yang mudah difahami bahawa beliau pasti akan dicabar dalam pemilihan parti yang akan datang ini.

Kiranya PRU15 diadakan sebelum pemilihan UMNO, Ahmad Zahid dengan sendirinya akan terus mengetuai parti dalam PRU15 dan bagaimana pilihanraya dihadapi tentunya tidak lagi menjadi persoalan.

Sebagaimana ketetapan sedia ada, disertai pula usul bahagian-bahagian tentang putus hubungan dengan Bersatu telah diluluskan, bermakna UMNO dalam PRU15 nanti akan betanding tanpa sebarang kerjasama dengan Bersatu dan PN.

Hanya yang belum pasti ialah sama ada Pas mahu terus bermuafakat dengan UMNO atau tidak.

Kiranya Pas memilih untuk bersama Bersatu dalam PN, maka UMNO hanya akan bersama parti komponen dalam BN saja.

Masalah kepimpinan UMNO akan timbul jika pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum tarikh PRU15 diumumkan.

Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan sebelum ini ada memberi kenyataan bahawa Ahmad Zahid setuju untuk tidak menangguhkan pemilihan parti 2021 yang dijadualkan sama ada Jun atau Julai depan ini.

Maka, kiranya pemilihan UMNO diadakan sebelum tarikh PRU15 diumumkan, siapakah pemimpin yang harus UMNO pilih untuk menerajui parti itu?

Adakah Ahmad Zahid masih perlu dikekalkan?

Atau pemimpin seperti Mohamad Hasan, Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Annuar Musa dan seumpamanya perlu dipilih sebagai peneraju baru UMNO?

Dalam hal ini, harus difahami bahawa sejak kalah PRU14 lalu, matlamat dan keinginan tunggal UMNO ialah untuk kembali berkuasa sebagai parti yang dominan dalam pentadbiran negara.

Pendekatan yang difikirkan relevan bagi tujuan itu ialah berbaik dengan Pas atas nama Muafakat Nasional.

Melalui hubungan kerjasama dengan Pas, UMNO berjaya bangkit semula dan diterima rakyat sehingga menang beberapa pilihanraya kecil dengan selesa.

Bagaimanapun, kekuatan dan cerahnya masa depan UMNO mula terjejas apabila ia menyertai kerajaan PN di mana selain Muhyiddin ternampak secara perlahan-lahan “membunuh” parti itu bagi memastikan kedudukan dominan Bersatu dalam pegangan kuasa kerajaan tidak terjejas, Pas juga sedikit demi sedikit dijinakkan untuk lebih memihak kepada Bersatu berbanding UMNO melalui pelbagai tawaran jawatan serta kedudukan.

Dengan keselesaan dan nikmat dunia melalui jawatan dalam kerajaan yang tak pernah terbayangkan untuk dinikmati, meski kalah PRU14 lalu, pendirian Pas ialah mahu mengukuhkan MN bersama UMNO dan di waktu yang sama ingin pula memperkasakan PN bersama Bersatu.

Dengan kata mudah, maksud di sebalik pendirian Pas itu ialah mereka mahu ketiga-tiga parti Melayu – Pas, UMNO dan Bersatu – terus berpakat dan bekerjasama dalam PRU15 dengan mengekalkan lagi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Pendirian Pas ini tentu saja bertentangan dengan matlamat UMNO yang mahu kembali berkuasa dan meletakkan pemimpinnya sendiri sebagai Perdana Menteri.

Untuk itu, jika UMNO benar-benar ingin mencapai tujuan asalnya serta mengembalikan maruah parti dengan merebut kembali jawatan Perdana Menteri, pemimpin seperti Zahid Hamidi dan mereka yang sealiran dengannya hendaklah dipilih untuk menerajui UMNO.

Bertanding bersendirian tanpa bantuan Pas, laluan memang agak sukar bagi UMNO dan BN untuk memenangi PRU15 kerana kuasa banyak berpusat dalam genggaman Muhyiddin dan PN.

Tetapi, betapa pun ia sukar, peluang untuk mengembalikan maruah dan menang pilihanraya tetap ada dan terbuka, lebih-lebih lagi jika PRU15 nanti menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PN dan PH.

Berbeza jika UMNO memilih pemimpin lain yang pro Bersatu, terutama yang duduk sebagai menteri dalam kerajaan sekarang untuk menjadi peneraju barunya, peluang parti itu menebus maruah kekalahan PRU14 lalu boleh dikira terpadam sama sekali.

Pemimpin yang setuju membawa UMNO terus bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang, mereka itu dengan sendirinya sama pemikiran dengan Pas yang setuju Muhyiddin dikekalkan lagi sebagai Perdana Menteri.

Tidak dinafikan bergabungnya UMNO, Pas dan Bersatu dalam sebuah pakatan akan memberi laluan lebih mudah untuk mereka memenangi PRU15, namun dengan setuju mengekalkan lagi Muhyiddin, ia juga bermakna menutup terus peluang UMNO untuk merebut kerusi Perdana Menteri dan mengembalikan semula maruahnya sejak hilang kuasa pada 2018 lalu.

Bersetuju Muhyiddin diberi peluang sepenggal lagi sebagai Perdana Menteri, persoalan utama yang harus difikirkan oleh ahli-ahli UMNO ialah apakah parti selepas itu masih mampu terus hidup atau ia lumpuh buat selama-lamanya, kalau pun tidak dimatikan untuk Bersatu dijadikan penggantinya?


 (Shahbudindotcom 25/01/2021)




No comments: