Tun M kembali ke Pakatan Harapan? Ini jawapan Anwar Ibrahim...

 

Tun M kembali ke Pakatan Harapan? Ini jawapan Anwar Ibrahim...

Firdaus Azil
Tun M kembali ke Pakatan Harapan? Ini jawapan Anwar Ibrahim...
Ahli politik atau parti yang ingin menyertai PH tidak boleh sama sekali membawa agenda kepentingan peribadi, tegas Anwar Ibrahim. - Gambar fail
SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) boleh mengundang sesiapa sahaja untuk menyertai gabungan itu ataupun di bawah payung PH Plus, tetapi dengan syarat harus patuh kepada prinsip penubuhannya, kata Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pembangkang itu berkata, mana-mana ahli politik atau parti yang ingin menyertai PH tidak boleh sama sekali membawa agenda kepentingan peribadi atau cuba membawa kembali budaya kebobrokan ke dalam gabungan berkenaan.
Menurut beliau, soal sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) atau mana-mana parti yang ingin menyertai gabungan itu, terserah kepada kelulusan PH melalui Majlis Presidennya.
“(Penyertaan Tun Mahathir) Itu terserah kepada PH. Siapa pun boleh kita undang tapi harus patuh kepada prinsipnya. Bukan bawa agenda peribadi dan meluluskan kebobrokan yang lama,” katanya kepada media selepas Merasmikan Majlis Peluncuran Buku “100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008 - 2011”, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada gabungan baharu yang bakal diwujudkan itu, akan mempertimbangkan penyertaan Dr Mahathir dan Pejuang serta parti-parti politik yang lain.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, persoalan sama ada beliau atau sesiapa sahaja yang mendakwa boleh memimpin pembangkang pada Pilihan Raya Umum akan datang harus memegang kuat prinsip reformasi.
Katanya, apa yang penting ialah perlu ada usaha untuk meyakinkan rakyat bahawa PH serius dalam menyelesaikan masalah ekonomi, kemiskinan serta keadilan untuk rakyat.
“Bagi saya ini perkara pokok yang harus kita selesaikan, perubahan yang kita usulkan mampu memberi kepada rakyat bahawa kita lebih serius untuk menyelesaikan masalah pemacuan ekonomi, keadilan bagi rakyat dan mengatasi masalah kemiskinan yang sangat buruk.
“Tak boleh harap elit kuota dan elit politik untuk benar benar merasa terpanggil bertanggungjawab selesaikan masalah ini, kerana sudah lama kita bagi peluang, tapi tak ada kesungguhan,” katanya lagi.


No comments: