Azan Ismail: Usah terlalu berahsia status halal vaksin Covid-19

 

Pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail menggesa kerajaan supaya tidak terlalu berahsia dalam soal mengenal pasti status perolehan vaksin Covid-19 termasuk sama ada ia halal dan sah di sisi undang-undang dan agama.

Beliau berkata sebagai kerajaan, Perikatan Nasional (PN) perlu telus dan jujur kepada rakyat.

Baginya, pendekatan PN ketika ini dirasakan ketinggalan zaman.

“Kerajaan PN seolah-olah hendak mengheret rakyat kepada zaman yang semuanya rahsia, hanya kerajaan yang tahu segalanya. Rakyat tak perlu tahu apa-apa.

“Ini sangatlah kuno cara pentadbiran dan cara pengurusannya,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Azan menambah, meskipun terikat dengan perjanjian kerahsiaan (NDA) antara kerajaan dengan syarikat pengeluar vaksin, namun soal maklumat ejen yang terlibat dengan perolehan vaksin dan pihak yang akan menilai status halal vaksin perlu didedahkan.

Katanya, ini bagi mengelakkan isu seperti kartel daging import haram berulang di masa akan datang.

“Kalau benda ini juga dirahsiakan, keraguan timbul.

"Lebih-lebih lagi, sekiranya ejen yang dilantik tidak mempunyai kaitan dengan bidang perubatan, maka rakyat perlu tahu apakah kelayakan syarikat itu sehingga menjadikannya layak dilantik sebagai ejen," katanya.

 

No comments: