Selamatkah bot laju terpakai jadi feri penumpang di Pulau Pinang?

 

Perkhidmatan Bot Penumpang Labuan-Menumbok Beroperasi Semula | Sabah Post

BOT LABUAN


Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahu menghentikan operasi feri penumpang yang bersejarah sebagai nadi pengangkutan manusia dan kenderaan sejak sekian lama di antara Pulau Pinang dan tanah besar amat dikesali.

Lebih dikesali, mulai tahun hadapan 2 buah bot laju yang terpakai didakwa dibeli untuk dijadikan feri penumpang sehingga menimbulkan persoalan mengenai keselamatannya.

Bekas Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik mendakwa, bot laju yang ditukarguna sebagai feri penumpang itu kini telah berusia 20 tahun dan menimbulkan kebimbangan awam terhadap aspek keselamatan andainya kedua-dua feri tersebut dibenar beroperasi seperti yang dijadualkan pada 1 Januari 2021.

“Kedua-dua bot itu telah beroperasi sebagai bot laju di antara Pulau Pinang dan Pulau Langkawi dan operasinya tergendala selepas merebaknya wabak Covid-19. Kini ia dijadikan feri penumpang, maka akan menimbulkan kebimbangan awam terhadap aspek keselamatannya.

“Sekiranya kedua-dua feri itu tetap akan beroperasi pada 1 Januari 2021, adakah ini bermakna kepentingan komersil jauh lebih penting daripada keselamatan penumpang?

“Saya ingin menuntut penjelasan daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) serta Jabatan Laut Wilayah Utara terhadap perkara dibangkitkan ini, serta seharusnya mereka mengeluarkan arahan untuk memberhentikan operasi kedua-dua feri penumpang tersebut sebelum suatu audit keselamatan yang menyeluruh dijalankan ke atas kedua-dua bot berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Wei Aik lagi, walaupun Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menerangkan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang sedia ada akan dikekalkan semasa penggulungannya di Dewan Rakyat pada 17 Disember 2020, namun terdapat pihak yang berdegil untuk tidak memperakui keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan Persekutuan itu.

Malah tetap dengan rancangan mereka untuk membolehkan kedua-dua bot laju lama dioperasikan sebagai feri penumpang mulai 1 Januari 2021, termasuk memansuhkan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang sedia ada dalam tahun 2022.

Sehubungan itu, Wei Aik mempersoalkan peranan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong yang didakwanya seolah-olah enggan menuruti keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan Persekutuan.

Katanya, jika Ka Siong tidak sehaluan dengan kerajaan PN maka lebih baik beliau meletak jawatan supaya perkhidmatan feri Pulau Pinang yang bersejarah 126 tahun itu dapat terus dikekalkan turun-temurun.