APA ADA DENGAN FAKHRULRAZI MOKHTAR?



Heboh berita akan kemasukan Ahli Dewan Undangan Negeri Meru, Klang, dari Parti Amanah Negara, YB Mohd Fakhrulrazi Mokhtar ke Parti Keadilan Rakyat. Jujurnya, saya tidaklah sangat memberatkan kepala untuk memikirkan wadah mana yang dia pilih untuk melawan musuh yang sama-sama kami lawan.


Anuar Tahir merupakan mantan Setiausaha Agung Keadilan yang kemudiannya masuk PAS dan kini bersama Amanah. Begitu juga dengan Pak Abu Urwah, Saari Sungib, dari Keadilan, berhijrah ke PAS, kini dalam Amanah. Rata-rata pendokong reformasi dan Keadilan sampai hari ini masih punya hormat yang tinggi terhadap mereka berdua. Tidak pernah ada apa-apa kenyataan dari pimpinan Keadilan dari kepresidenan Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Anwar Ibrahim yang mengatakan parti telah tersalah pilih mereka berdua sebagaimana kenyataan Khalid Samad terhadap Fakhrulrazi.


Bagi saya, yang mesti tetap adalah perjuangannya, wadah ini, kalau ia berubah pun, selagimana ia dalam lingkungan pembawa panji-panji perjuangan yang serupa, ia tidak mengapa. Lebih teruk orang yang tetap wadahnya, tetapi perjuangannya tidak tahu di mana dan ke mana, yillek puchik, ini orang panggil munafik haraki. Dalam Keadilan sendiri ada orang yang tetap wadahnya sampai 20 tahun tetapi akhirnya keadaan membuka pekung mereka, bahawa yang mereka pegang adalah jalan mencari keuntungan persendirian, bukan jalan perjuangan.


Jangan sekali-kali menjadi seperti Kamarudin Jaffar. Semasa dalam Umno, dia dikenal orang kuat Anwar Ibrahim. Apabila Anwar dizalimi oleh aparat pemerintah yang diketuai Dr. Mahathir bin Mohamad ketika itu, dan Parti Keadilan Nasional ditubuhkan pada tahun 1999 untuk menyambung perjuangan Anwar, Kamarudin Jaffar yang tahu dia sudah tiada masa depan dengan Umno, mengambil keputusan balik ke Kelantan dan menyertai PAS. Kenapa bukan Keadilan? Jelas, niat Kamarudin bukan kerana "lingkungan perjuangan yang sama" tetapi kerana kepentingan diri-sendiri. Keadilan ketika itu kecil, merangkak, buat apa mahu susah-susah, sekurang-kurangnya PAS di Kelantan ketika itu adalah kerajaan. Dia bersama dengan PAS sehingga diangkat menjadi Setiausaha Agung. Apabila Keadilan sudah kuat, Anwar juga kelihatan kuat, dalam masa yang sama PAS berantakan, hingga melahirkan GHB kemudiannya Amanah, Kamarudin mengambil keputusan menyertai Keadilan. Mengapa bukan GHB atau kemudiannya Amanah? Sebab sama macam Keadilan 1999, buat apa mahu susah-susah?


Apabila melihat Anwar tiada apa-apa, tidak mampu memberi apa-apa kepadanya yang bersifat keuntungan materi, apalagi dalam keadaan wujudnya pergeseran dalaman ketika itu dengan kumpulan Azmin Ali, Kamarudin mengambil jalan membelakangkan sahabat lamanya, Anwar Ibrahim dan mengikut Azmin. Kerana kebenarankah? Kerana perjuangankah? Tidak sama sekali, kerana di mata Kamarudin, Azmin sekurang-kurangnya ada Selangor ketika itu, ada kementerian, anak emas Mahathir, ada lubuk yang boleh dijala, ada lombong yang boleh digali. Kamarudin akhirnya mengikut Azmin bersama-sama terjun ke lubang pengkhianatan, atas sebab yang sama juga, laba peribadi, buat apa susah-susah!


Saya yakin yang Fakhrulrazi bukan seperti Kamarudin Jaffar, sebabnya di Selangor Pakatan Harapan adalah kerajaan. Kalau setakat mahu menjadi Exco Kerajaan Negeri, Fakhrulrazi tidak perlu bertukar parti, Amanah dan Keadilan itu sama-sama PH, kalau sampai rezeki Fakhrulrazi, jadilah dia Exco! Takkanlah kerana mengubah wadah "dalam lingkungan perjuangan yang sama" Sheikh Miqdad Zakaria boleh tuduh dia lobi kerabat nak jadi Exco! Takkan macam tu sheikh, tidak rapat pun kita saling mengenal, macam mana kalau dahulu orang kata sheikh masuk Amanah semata-mata untuk lawan Ayah Chik di Marang, tak menang tak apa, asal popularkan! Tanpa niat apa-apa, saya lampirkan gambar kedua di bawah, gambar saya bersama Yang Hormat Dato' Setia Jaya Pahang, Yang Mulia Tunku Dato' Iskandar Dzulkarnain bin Tunku Dato' Ismail, di malam perkahwinan adindanya. Tunku Dato' Iskandar Dzulkarnain adalah Orang Besar Raja Pahang dan sepupu kepada KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong. Takkanlah kerana ini contohnya, sheikh boleh dakwa saya lobi kerabat Agong untuk jadi menteri. Jauh tu sheikh... jangan pergi terlalu jauh hingga boleh merenggangkan silaturrahim kita yang sedia terbina.


Zukri Aksah

Ketua Komunikasi Nasional

Gerakan Reformasi 98 - GERAK 98


p/s: Kepada YM Tengku Nain, saya mohon maaf terlebih dahulu kerana memasukkan gambar kita dalam tulisan ini, kalau-kalau konteks penggunaannya tidak molek pada pada pandangan Ku. Ku jangan marah ya! 😁


#akukeadilan #kamikeadilan #neoreformia #lawantetaplawan #keadilan21tahun #dsai4pm #reformasi98 #gerakanreformasi98 #gerak98

Mohamad Ezam Nor Gerakan Reformasi Nasional



No comments: