Berikut di bawah adalah kenyataan media yang dikeluarkan UMNO selepas parti itu mengadakan mesyuarat khas MT yang berakhir lewat tengah malam tadi.
———————————————————–
KENYATAAN MEDIA
Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah mengambil keputusan:
1. UMNO terus kekal fokus dan konsisten dengan kenyataan yang sudah berkali-kali dikeluarkan tentang peri pentingnya Gencatan Politik dan Rekonsiliasi Nasional demi mendepani wabak Covid-19, menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik.
2. UMNO juga ingin mengulangi dengan jelas sekali lagi bahawa kami menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk terus memastikan pentadbiran negara diurus dengan baik berpandukan keluhuran undang-undang dan menghormati semangat yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan tidak membawa negara ke dalam darurat sebagaimana yang telah dicadangkan oleh pihak kerajaan.
3. UMNO memperhalusi pelbagai pandangan dan harapan rakyat mengenai Belanjawan 2021 untuk diangkat kepada Kerajaan termasuklah isu perlanjutan tempoh moratorium, bantuan sara hidup kepada rakyat yang hilang punca pendapatan akibat Covid-19, bantuan kepada belia yang menganggur, bayaran khas kepada barisan hadapan (frontliners) dan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pengembangan ekonomi negara. Lantaran itu, UMNO akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat untuk rakyat dapat diluluskan.
4. Maka sebarang tindakan mana-mana pihak yang mempersoalkan keputusan UMNO dalam mendokong titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali. Sekiranya pendirian UMNO dalam perkara ini masih dipersoalkan, UMNO tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas demi untuk menjaga kedaulatan Raja-raja dan kepentingan rakyat.
5. UMNO adalah sebuah parti yang dasar-dasarnya sentiasa memberikan keutamaan kepada agenda rakyat. Maka, semua anggota Kabinet yang mewakili UMNO terus kekal dalam Kerajaan dan beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti.
6. UMNO memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mengujudkan Kerajaan yang stabil dengan mengadakan Pilihanraya Umum setelah Pandemik Covid-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum.
AHMAD ZAHID HAMIDI
29 Oktober 2020.
————————————————————
Secara keseluruhannya, tiada apa-apa yang menarik dan baharu daripada keputusan mesyuarat khas MT UMNO kali, ia lebih kurang sama saja dengan keputusan mesyuarat khas pada Isnin lalu.
Kepada yang mengharapkan UMNO mampu berbuat sesuatu yang drastik dan “jantan”, tentu saja agak kecewa dengan keputusan MT UMNO malam tadi.
Asyik mesyuarat dan berbincang berkali-kali, tapi keputusannya “wal hasil balik asal” juga akhirnya.
Tetapi, ada dua perkara yang tidak harus diketepikan begitu saja dalam keputusan MT UMNO kali ini.
Pertama, UMNO tidak membuat sebarang ketetapan mengenai calon Timbalan Perdana Menteri, meski laporan awal sebelum ini mengatakan mesyuarat khas itu diadakan, tujuan pentingnya ialah untuk memutuskan perkara tersebut.
Sementara Muhyiddin Yassin dikatakan menolak nama Zahid Hamidi dan mahu pemimpin UNNO yang lain dicalonkan, nama-nama lain yang disebut ramai iaitu Mohamad Hasan, Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin Hussein turut tidak diputuskan untuk mengelak perpecahan dalam UMNO.
UMNO nampaknya sedar perangkap dan buli di sebalik tawaran Muhyiddin untuk calon Timbalan Perdana Menteri itu.
Dengan itu, UMNO secara tersiratnya menolak untuk mana-mana pemimpinnya diletakkan mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Kedua, walaupun UMNO menjunjung kasih terhadap titah Agong, tetapi mesyuarat khas malam tadi tidak membuat sebarang ketetapan untuk menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November akan datang ini.
Sebaliknya, selain ingin beberapa penambahbaikan dalam Belanjawan 2021 dan memutuskan agar semua pemimpin UMNO yang memegang jawatan kabinet terus kekal berada dalam kerajaan, keutamaan sebenar UMNO ialah mahu mengembalikan mandat kepada rakyat membuat pilihan melalui PRU yang perlu diadakan sebaik saja pandemik Covid19 dapat dikawal dan berada di tahap minimum.
Dengan keutamaan mahu PRU awal itu, bergantung kepada keadaan semasa Covid19, UMNO dalam kata lain, sedia menarik keluar sokongannya terhadap kerajaan PN pada bila-bila masa.
Jika ketika pengundian Belanjawan 2021 yang dijangka pada penghujung November nanti pandemik Covid19 sudah menurun dan di tahap terkawal, maka UMNO akan membuat keputusan menolaknya pada waktu itu.
Bagi UMNO, hanya dengan menolak Belanjawan 2021 saja cara paling mudah untuk nenjatuhkan kerajaan, seterusnya membolehkan PRU semula diadakan segera.
Menanti ke tarikh tersebut, UMNO dipercayai tidak akan melalukan sebarang perundingan dengan Muhyiddin dan Bersatu berkaitan pembahagian kerusi.
Mudah kata, melalui pendirian yang ditetapkan menerusi mesyuarat khas MT UMNO malam tadi, kerajaan PN dipimpin Muhyiddin ini paling mungkin akan tamat hayat politiknya sebelum tirai tahun 2020 dilabuhkan.
Seawal tahun 2021 adalah tahun PRU diadakan yang diharap-harapkan.
Bye bye Muhyiddin!!!
(Shahbudindotcom 30/10/2020)