Tukar status zon hutan di Kampar untuk jual petak kubur dibantah!

Tukar status zon hutan di Kampar untuk jual petak kubur dibantah!
Seluas 60.38 hektar zon hutan di dalam kawasan Majlis Daerah Kampar (MDKpr) telah dicadangkan untuk ditukar status kepada zon perniagaan iaitu perkuburan swasta Cina.
Pengubahan status di Lot 22482 dalam Draf Rancangan Tempatan Kampar 2020 (Pengubahan 4) itu bagi tujuan penjualan petak kubur.
Mengikut Blok Perancangan Kecil 3.1: Kampar, pemohon cadangan pertukaran zon itu ialah Choong Kok Tractor & Vehicle Sdn Bhd.
Lokasi hutan terbabit terletak hanya 100 meter dari Taman Naga Emas dan 250 meter dari Hospital Kampar.
Mengulas cadangan pertukaran kepada zon perniagaan itu, Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, kawasan berhutan di Perak khususnya sekitar Kampar dibimbangi akan terus musnah.
Beliau berpendapat zon hutan yang mempunyai banyak kepentingan kepada kesejahteraan alam dan manusia tidak harus dieksploitasi untuk kepentingan komersial.
“Ini menunjukkan seolah-olah kematian adalah komoditi yang boleh diperdagangkan dan peluang untuk mendapatkan keuntungan,” bidasnya.
Menurutnya, cadangan penukaran status itu melibatkan kawasan hutan berbukit curam yang penting untuk dipelihara.
“Permohonan cadangan menukar zon ini sahih sebab saya sudah semak semalam di pejabat Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk tempatan melakukan pemeriksaan laporan dan mengemukakan cadangan atau bantahan sebelum atau pada 5 September ini kepada Yang DiPertua, Majlis Daerah Kampar.
“Yang menghairankan, beberapa tanah rizab perkuburan Islam pula dicadang untuk dimansuhkan sedangkan kita pun menghadapi masalah kekurangan tanah kubur.
“Masih dalam tempoh penyertaan awam, ini bermakna orang awam boleh beri cadangan mahupun bantahan.
“Harap warga Kampar khususnya dan sesiapa yg prihatin ambil peluang kemukakan bantahan,” kata Meor Razak lagi.

No comments: