RUU Pengurangan Kesan Covid-19: Terlambat dan terlewat


Rang Undang-undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) 2020 disifatkan sebagai sudah terlambat dan terlewat.
Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming berkata, ia dilihat tidak akan membantu kumpulan yang paling terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“RUU ini yang telah lama ditangguhkan baru dibentangkan di parlimen untuk Pembacaan Pertama pada 12 Ogos 2020.
“Untuk menguatkuasakan RUU ini, ia mesti diwartakan setelah diluluskan di Dewan Rakyat sebelum berakhirnya persidangan ini pada 27 Ogos dan juga diluluskan di Dewan Negara sebelum berakhirnya persidangan pada 3 September.
“Yang paling awal RUU ini dapat diwartakan adalah pada akhir bulan September. Ini adalah lebih dari enam bulan sejak PKP bermula pada 18 Mac 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahan pula, tambah Kian Ming, jika tindakan dan tuntutan undang-undang tertentu dimulakan atau diselesaikan sebelum RUU berkuatkuasa, perlindungan yang diberikan oleh RUU berkenaan tidak dapat digunakan.
Beliau turut mengetengahkan beberapa kelemahan melibatkan RUU tersebut.
Kian Ming yang juga Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP, menambah, Malaysia mempunyai peluang untuk membentangkan RUU Covid-19 yang lebih komprehensif semasa persidangan Parlimen pada 18 Mei lalu.
Pada masa itu, menurutnya, hanya dua bulan setelah bermulanya PKP dan pihak peniaga masih mempunyai masa untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan yang sewajarnya.
“Sebaliknya, pemerintah Perikatan Nasional (PN) menolak peluang ini untuk mengadakan sidang Parlimen yang biasa.
“Enam bulan kemudian, apa yang kita ada sekarang adalah RUU Covid-19 yang penuh dengan kelemahan, terlambat dan terlewat,” katanya.