MENUNDA SIDANG PARLIMEN MENJADIKAN RAKYAT TIDAK LAGI DIUTAMA, HANYA AHLI2 PARLIMEN KAUT LABA



Jika sidang Parlimen pada 18 Mei ini tidak dihadkan hanya untuk titah perasmian oleh Yang Dipertuan Agong saja, barangkali soal keabsahan Perdana Perdana akan dapat diputuskan pada hari tersebut.
Dengan yang demikian, sama Muhyiddin Yassin dapat kekal lagi sebagai Perdana Menteri atau akan dijatuhkan, tiada lagi pertikaian mengenai sahih atau tidaknya kedudukan siapa juga yang menjadi ketua kerajaan selepas itu.
Kalau kekal, beliau selepas itu akan dapat menumpukan sepenuh perhatiannya membangunkan negara dan memberi kesejahteraan kepada rakyat jelata.
Begitu juga jika beliau kalah dalam usul undi tidak percaya, penggantinya yang dipilih melalui undian di Parlimen juga akan dapat melaksanakan tugas demi rakyat dan negara tanpa banyak gangguan lagi.
Tetapi, disebabkan Muhyiddin begitu takut kehilangan jawatan berikutan sokongan Ahli-Ahli Parlimen terhadapnya masih belum pasti, beliau telah tergamak menangguhkan sessi perbahasan pada 18 Mei ini ke sidang Julai akan datang.
Menggunakan kuasanya selaku Ketua Majlis Dewan Rakyat, Muhyiddin telah menulis surat kepada Speaker Parlimen, Mohamad Ariff Md Yusof untuk memaklumkan sidang Parlimen pada 18 Mei ini hanya terhad kepada titah perasmian saja.
Ini bermakna, selain perbahasan titah Yang Dipertuan Agong dianjakkan kepada sidang Julai akan datang, segala usul kerajaan dan usul pembangkang, termasuk usul undi tidak percaya yang telah diterima untuk dibentangkan, juga turut tangguhkan selama dua bulan lagi.
Ertinya, sehingga sidang Parlimen 13 Julai akan datang, walaupun Muhyiddin dapat kekal lagi sebagai Perdana Menteri, kedudukannya tetap diragui ramai.
Logiknya mudah saja, kalau betul Muhyiddin sudah cukup sokongan, tiada sebab beliau perlu menangguhkan sidang Parlimen daripada 9 Mac kepada 18 Mei dan kemudian sidang 18 Mei pula hanya dihadkan kepada titah Yang Dipertuan Agong saja.
Tidak pernah dalam sejarah negara sejak merdeka, sidang Parlimen hanya untuk perasmian dan titah Yang Dipertuan Agong semata-mata tanpa disusuli dengan sessi perbahasan.
Ini tidak lain menunjukkan Muhyiddin benar-benar takut dan negara kita tidak pernah mempunyai Perdana Menteri yang lebih penakut daripadanya.
Dengan menganjakkan sessi perbahasan kepada Julai yang juga bermakna usul undi tidak percaya terhadapnya teranjak sama selama dua bukan, tujuannya ialah agar Muhyiddin masih ada masa untuk menguatkan kedudukannya dengan cara menawarkan kedudukan dan jawatan kepada Ahli-Ahli Parlimen yang dirasakan boleh “dibeli” jiwa mereka.
Demikian itu, dalam tempoh dua bulan akan datang, apa jadi kepada nasib rakyat yang memerlukan lebih pembelaan kerajaan kesan wabak Covid-19?
Sudah tentu, dalam tempoh dua bulan akan datang, bukan menjaga dan membela rakyat yang menjadi keutamaan Muhyiddin selaku ketua kerajaan, tetapi perhatian beliau lebih tertumpu kepada menjaga Ahli-Ahli Parlimen yang ada undi dalam usul undi tidak percaya terhadapnya.
Sementara Ahli-Ahli Parlimen sudah ada gaji dan elaun sebagai wakil rakyat, selain dijadikan menteri dan timbalan menteri, selebihnya diberikan pula jawatan menerajui GLC dan duta-duta rekaan yang semua bertaraf menteri.
Tidakkah semua ini membazirkan wang negara, sedangkan bantuan kepada rakyat yang terkesan dengan wabak Covid-19 hanya nampak sipi-sipi saja?
Tidak mustahil juga, ada Ahli-Ahli Parlimen yang ditambah lagi tawaran jawatan jika mereka tidak puas hari dengan jawatan dalam GLC yang sudah diberi atau terus buat bising menegur sana dan menegur sini tentang kerajaan yang bermasalah ini.
Pokoknya Muhyiddin tiada kekuatan idealisme atau perjuangan bagi meyakinkan Ahli-Ahli Parlimen untuk terus menyokongnya melainkan menawarkan mereka jawatan dan kedudukan semata-mata.
Akhirnya, rakyat sentiasa dikebelakangkan dan teraniya, bukan saja sehingga sidang Parlimen Julai, bahkan sampai kepada ketibaan PRU15 akan datang, sebaliknya hanya Ahli-Ahli Parlimeb yang untung kerana dibelai dan dimanjakan oleh Perdana Menteri sepanjang masa.

(ShahbudinHusin 16/05/2020)

No comments: