Pekerja Malaysia di Singapura bimbang dibuang jika balik ke tanah air




Siva berkata, pekerja Malaysia di Singapura takut pulang ke tanah air kerana permit kerja mereka akan dibatalkan jika berbuat demikian. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura bimbang kehilangan pekerjaan jika pulang ke tanah air, selepas republik itu mengumumkan penutupan sekolah dan kebanyakan tempat kerja selama sebulan sebagai langkah ketat mengekang penularan Covid-19.
Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan hanya mahu dikenali sebagai Siva berkata, kebanyakan majikan hanya menyediakan tempat tinggal kepada mereka sehingga 31 Mac lalu.
Oleh itu, kebanyakan pekerja Malaysia di negara jiran terpaksa menyewa hotel sendiri untuk mengekalkan pekerjaan mereka.
“Semua takut nak balik sebab permit kerja akan dibatalkan dan tidak boleh bekerja di Singapura lagi jika balik ke Malaysia,” katanya kepada FMT.
Pada 3 April lalu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengumumkan penutupan sebahagian besar tempat kerja, sekolah dan prasekolah selama sebulan mulai semalam, tetapi perkhidmatan penting seperti pasar dan pasar raya, tempat makan dan pengangkutan awam terus beroperasi.
Siva yang biasanya ulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura berkata, beliau memilih untuk terus tinggal di republik itu dan bekerja seperti biasa.
“Ikutkan nak balik ke Malaysia, tetapi tidak boleh, jadi saya akan terus tinggal di sini sehingga keadaan pulih.”
Seorang lagi pekerja Malayia di Singapura yang dikenali sebagai Edward memilih untuk bercuti tanpa gaji sejak Malaysia melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.
Katanya, beliau terpaksa berbuat demikian kerana tidak boleh bekerja dari rumah.
“Masa Malaysia mula PKP pada 18 Mac lalu, semua yang membuat keputusan masuk Singapura memang tidak boleh keluar. Jadi, semasa Malaysia melanjutkan PKP, memang mereka kena tinggal di sana.
“Macam saya masih kerja dengan syarikat saya di Singapura sebab permit kerja masih sah.”
Beliau tidak menolak kemungkinan ada syarikat Singapura yang meminta pekerja Malaysia pulang ke tanah air dan hanya memberi pekerjaan kepada rakyat negara itu.
“Setakat ini, kebanyakan syarikat di sana mahu rakyat mereka (teruskan) kerja.
“Jadi, ramai juga yang kecewa balik ke Malaysia. Mereka dibayar gaji sehingga 31 Mac lalu, lepas itu terpaksa cuti tanpa gaji.”

No comments: