PUTRAJAYA TENTUKAN LANJUTAN PKP PADA JUMAAT INI



PKP yang dimulakan 18 Mac lalu, kini memasuki hari ke-22 dan kerajaan perlu membuat keputusan tepat berdasarkan situasi semasa penularan Covid-19 di Malaysia.

KUALA LUMPUR: Sama ada perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu dilanjutkan atau ditamatkan bakal diketahui dalam masa kira-kira 72 jam.
PKP sepatutnya berakhir pada 14 April ini dan kerajaan dijangka membuat pengumuman pada Jumaat ini.
Jika diteliti, rakyat mengharapkan ia tidak dilanjutkan selepas memasuki hari ke-22 pelaksanaan PKP hari ini dan ingin kembali kepada kehidupan normal, namun kerajaan perlu membuat keputusan tepat berdasarkan situasi semasa penularan Covid-19 di negara ini.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan 69 kes sporadik Covid-19 setakat ini, iaitu kes yang tidak diketahui asal-usul dan punca jangkitannya.
Sebanyak 170 kes baru Covid-19 dengan satu lagi kematian direkodkan setakat 12 tengah hari semalam, menjadikan keseluruhan 3,963 kes positif membabitkan 63 kematian.
Indeks jenayah di seluruh negara turun sebanyak 70% sepanjang tempoh PKP, namun tangkapan individu yang ingkar PKP di seluruh negara sehingga semalam mencecah 6,451 orang.
Mengenai operasi sanitasi awam Covid-19, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob semalam berkata, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sudah melakukan 666 operasi sanitasi di 79 zon, termasuk semua 18 zon merah.
Dalam tempoh itu, bangunan kerajaan dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) turut dinyahcemar, termasuk 24,077 unit rumah PPR.
Operasi itu penting kerana satu lagi lokasi dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), iaitu bangunan Malayan Mansion dan Selangor Mansion di Jalan Masjid India.
Sebelum ini, kerajaan melaksanakan PKPD di 3 kawasan, iaitu Simpang Renggam di Kluang, Sungai Lui di Hulu Langat dan Menara City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.
Di sebalik segala usaha itu, rakyat dan syarikat korporat turut bersama kerajaan membantu membendung penularan Covid-19, termasuk menyumbang kepada Tabung Covid-19 yang kini mencecah RM22.6 juta untuk disalurkan kepada pihak memerlukan.
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin melalui catatan di Facebooknya berkata, sehingga Isnin lalu, RM5.68 juta dana daripada tabung itu disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Negara bagi tujuan pembelian barang keperluan harian untuk disumbangkan kepada mereka yang terjejas akibat pandemik itu.
Muhyiddin berkata, RM195,000 juga disalurkan atas nama Bayaran Ihsan Kematian kepada 39 waris mangsa jangkitan Covid-19.
Tabung Covid-19 dilancarkan pada 11 Mac lalu dalam usaha kerajaan membantu rakyat terjejas.
Justeru, Malaysia memerlukan kerjasama dan sokongan rakyat secara keseluruhannya sepanjang PKP ini bagi mengekang penularan pandemik itu daripada terus menular.
Tunaikanlah tanggungjawab sebagai rakyat dengan mematuhi peraturan, tidak menyebarkan berita palsu, termasuk di media sosial dan hargailah peranan petugas barisan depan yang berjuang demi keamanan dan keselamatan negara.




No comments: