SELEPAS PAKATAN NASIONAL GAGAL, INILAH KESEMPATAN TERBAIk MAJLIS PRESIDEN TETAPKAN TARIKH SERAH KUASA



Sebagaimana yang dijangka, hasrat UMNO untuk membentuk kerjasama dengan Tun Mahathir Mohamad yang turut disertai Pas dalam sebuah gabungan baru yang dinamakan Pakatan Nasional, akhirnya sah telah menemui kegagalan.

Perkara itu yang sepatutnya diputuskan oleh MT UMNO, sebaliknya langsung tidak dibincangkan dalam mesyuarat semalam.
Keadaan itu nampaknya bertentangan sama sekali dengan pengakuan beberapa ahli MT UMNO sebelum ini yang mengatakan isu pembentukan Pakatan Nasional akan menjadi tajuk perbincangan utama mesyuarat itu.

Malah, tindakan tidak membincangkan perkara itu juga berbeza dengan rakaman audio Presiden UMNO, Zahid Hamid sepertimana yang didedahkan oleh Lokman Noor Adam yang jelas menampakkan keinginannya untuk bekerjasama dengan Tun Mahathir.

Tindakan tidak membincangkan isu kerjasama itu tentu saja ada kaitan dengan tindakan Lokman mendedahkan rakaman audio Zahid Hamidi itu sehingga menimbulkan rasa tidak senang dan penolakan majoriti ahli UMNO terhadapnya.
Jika ia dibincangkan juga, ada kemungkinan soal kerjasama itu akan ditolak oleh majoriti ahli MT UMNO dan ia akhirnya akan memberi malu kepada Zahid Hamidi sendiri.

Maka, jalan selamat ialah MT UMNO tidak membincangkan langsung soal kerjasama tersebut.

Zahid Hamidi, dalam hal ini, barangkali bertujuan menutup malunya dengan selamba berkata, soal kerjasama dengan Tun Mahathir hanyalah sekadar khabar angin semata-mata.
Ehhh...dah jadi khabar angin pulak?

Habis, yang beliau memberi empat alasan mengapa perlu bekerjasama dengan Tun Mahathir sebagaimana rakaman audio yang didedahkan oleh Lokman itu apa dia?

Dalam hal ini, meskipun ketika ini soal kerjasama UMNO dengan Tun Mahathir dalam Pakatan Nasional untuk mengekalkannya lebih lama lagi sebagai Perdana Menteri sudah tidak berjaya, ini tidak bermakna usaha itu telah berakhir sama sekali.

Selagi Tun Mahathir dibelenggu nafsu ingin berkuasa lebih lama dan rasa berat hati menunaikan janji peralihan kuasa masih ada dalam dirinya, ditambah dengan pemimpin UMNO yang berdepan kes mahkamah kekal memimpin parti itu, PH haruslah sentiasa berwaspada dengan isu Pakatan Nasional ini.

Isu itu pasti akan muncul lagi selepas ini selagi kedua-dua pihak itu ada kepentingan masing-masing yang ingin diselamatkan.
Satu-satunya jalan untuk mengakhiri isu kerjasama itu ialah dengan Majlis Presiden PH mesti segera bermesyuarat untuk menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Dengan segera memuktamadkan tarikh penyerahan kuasa untuk Anwar menjadi PM8, ia secara automatik dapat mengekang nafsu Tun Mahathir untuk berkuasa lebih lama dan dengan sendirinya tidak lagi akan berdolak-dalik berhubung tempoh sepatutnya beliau memegang jawatan Perdana sementara yang disandangnya sekarang.

Kegagalan UMNO memuktamadkan soal bekerjasama dengan Tun Mahathir dalam mesyuarat MT UMNO semalam seharusnya menjadi kesempatan terbaik untuk Majlis Presiden menjadikan PH lebih aman dengan isu peralihan kuasa yang tidak selesai-selesai sejak hampir dua tahun lamanya.

Tanpa isu peralihan kuasa menjadi bualan lagi selepas ini dan tarikh untuk Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri dapat dimuktamadkan, PH pasti mempunyai laluan yang lebih selesa untuk mengelakkan ia menjadi kerajaan selama sepenggal saja. 

(Shahbudin Husin 08/02/2020)