‘Selepas ini Najib kena jawab kes di mahkamah’
Perintah yang dikeluarkan oleh hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam disifatkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai permulaan yang baik ke atas perbicaraan penyelewengan dan salah guna kuasa pemimpin BN.
“Ia ambil masa lebih setahun sebelum dia perlu jawab isu 1Malaysia Development Bhd tetapi ia permulaan yang baik,” katanya kepada lebih seribu orang yang hadir dalam ceramah di Pontian.
“Seperti semua orang di sini, saya juga tak sabar tetapi kita perlu ikut proses undang-undang,” tambah Anwar.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Najib membela diri dalam kes korupsi RM42 juta SRC International.
Bekas presiden Umno itu berdepan tujuh pertuduhan kesalahan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa. Beliau akan memulakan sesi pembelaan pada 3 sehingga 19 Disember ini. SRC International adalah anak syarikat 1MDB yang memindahkan RM42 juta ke dalam akaun bank peribadi Najib.
“Tetapi kes 1MDB bukan satu-satunya skandal. Ada yang lain (skandal) dalam Felda, Tabung Haji dan lain-lain.
“Kerana itulah, anda perlu pastikan Pakatan Harapan dapat pertahankan kerusi Tanjung Piai,” kata ahli Parlimen Port Dickson berusia 72 tahun itu lagi.
Jelasnya, sebab kerajaan PH nampak seperti tidak banyak kemajuan sejak menjadi kerajaan tahun lepas adalah disebabkan proses pembersihan skandal yang perlu dilakukan.
“Kita buat perkara perlu dengan ketatkan undang-undang rasuah dan pastikan lebih ketelusan dalam kerajaan, tetapi ia mengambil masa,” katanya dipetik.
Anwar adalah salah seorang daripada dua pemimpin kanan PH yang berucap malam tadi. Selain Anwar, turut hadir ialah Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
Tetapi, yang menjadi tumpuan ramai hadirin ialah Exco Johor Dzulkefly Ahmad.
“Satu perkara yang kita buat adalah hentikan kuota dalam pemberian rumah kos rendah,” katanya.
Menurutnya, ketika zaman pentadbiran Barisan Nasional, 20% rumah kos rendah yang disubsidi kerajaan diberikan kepada parti politik seperti Umno dan MCA untuk diedarkan.
“Tetapi akhirnya, kita dapati ada rumah yang sepatutnya untuk B40 jadi milik ketua bahagian dan sebagainya,” kata exco perumahan dan komunikasi Johor itu.
Sementara itu, menteri pertahanan pula berkata PH tidak seperti BN yang memainkan isu perkauman.
“Ketika PRK Cameron Highlands, mereka beritahu pengundi supaya pilih calon mereka kerana dia seorang Islam tetapi di sini mereka sokong MCA pula,” kata Mohamad Sabu yang merupakan ahli Parlimen Kota Raja.
“Dalam PH, kami tak pernah pandang soal kaum dan beritahu orang supaya mengundi hanya kerana dia (calon) orang Melayu atau Cina atau India. Bila dia calon PH, dia adalah calon PH,” katanya yang juga presiden Amanah.
PRK Tanjung Piai menemukan enam calon tetapi pertembungan sengit dilihat berlaku antara calon PH Karmaine Sardini dan calon BN Wee Jeck Seng.