Tiada apa-apa tindakan diambil oleh Bersatu terhadap Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berhubung kenyataan kontroversinya yang menyebut “saya seorang diri terkontang-kanting berlawan dengan puak-puak DAP”.
Ini berikutan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu petang tadi menerima dengan baik penjelasan Ahmad Faizal atau Peja yang tetap mengatakan kenyataannya itu telah diambil di luar konteks.
Sehubungan itu, selain tiada apa-apa tindakan diambil terhadapnya, Peja juga enggan memohon maaf berhubung kenyataannya itu yang turut mencetuskan bantahan daripada DAP dan PKR Perak.
“Adakah saya bercakap apa-apa yang salah?” soal beliau.
Selain menerima bantahan daripada DAP dan PKR Perak, Lim Guan Eng turut menyuarakan rasa tidak senang dengan kenyataan Peja itu.
Pada sidang akhbar selepas mesyuarat MPT Bersatu petang tadi, Tun Mahathir turut mempertahankan Peja dan berkata MB itu terpaksa menjelaskan situasi sebenar di Perak kepada sekumpulan nelayan di Tanjung Piai yang ditemuinya baru-baru ini sewaktu berkempen bersama calon PH, Karmaine Sardini.
“Dia berhadapan dengan nelayan yang begitu agresif. Jadi mereka (nelayan) menganggap PH ini dikuasai oleh DAP, jadi dia terangkan walaupun dia seorang sahaja dan yang lain banyak DAP di Perak tetapi dia tetap jadi MB dan masih menguasai kerajaan.
“Dia perlu jelas perkara itu kerana orang itu (nelayan yang ditemuinya) sangat ekstrem pandangan dia,” tambah Tun Mahathir.
Tun Mahathir yang merupakan Pengerusi PH juga menegaskan tiada keperluan bagi Peja untuk memohon maaf kepada sesiapa berhubung kenyataannya.
Nampaknya kes Peja ini selesai begitu saja, tidak seperti Ronnie Liu yang menerima surat tunjuk sebab daripada DAP berhubung kenyataannya berkaitan Bersatu dan Tun Mahathir.
Puas hatikah Guan Eng dan DAP Perak dengan keputusan Bersatu terhadap Peja ini? (ShahbudinHusin 11/11/2019)