Buka mulut luas-luas, nak tengok lidah, berapa cabangnya

Dr Mahathir selalu menyangka yang semua orang mudah lupa. Semalam beliau menyalahkan Sultan Iskandar yang semasa itu menjadi Yang Di Pertuan Agong, yang memecat Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara bersama dengan lima Hakim Mahkamah Agong yang lain.
Sebelum kita memahami hakikat sebenarnya yang berkaitan dengan isu pemecatan Tun Salleh Abbas ini, kita perlu tahu latar belakang siapa yang terlibat, seperti Dr Mahathir dan Raja yang dituduh Dr Mahathir sebagai orang yang bertanggungjawab memecat Tun Salleh Abbas itu. Dr Mahathir semalam tidak menyalahkan Tun Salleh tetapi beliau menyalahkan Yang di Pertuan Agong Sultan Iskandar, Sultan Johor Darul Takzim semasa pemecatan itu.
Dalam politik negara Tun Mahathir terbilang dengan orang yang suka melakukan kehendak hatinya sendiri dan  sentiasa  tidak sesuai dengan undang-undang dan etika sebagai seorang Perdana Menteri sebuah negara merdeka seperti Malaysia ini. Jika ada halangan etika dan undang-undang beliau akan hapuskan undang-undang yang diguna-pakai oleh negara demokrasi untuk menjaga negara itu sendiri.
Jika ada pemimpin yang beliau anggap sebagai boleh menyaingi beliau dalam kerjaya sebagai pemimpin yang berjaya,  mereka –mereka itu akan dipinggirkan dan digantikan dengan mereka yang boleh bersekongkol dan memenuhi kehendaknya iaitu hanya memberikan sokongan 120 peratus terhadap beliau. Akhirnya beliau berdiri seorang sebagai seorang pemimpin yang boleh dianggap berwibawa dan yang lainnya hanyalah dianggap beliau sebagai ‘red-indian’ yang boleh beliau perlakukan sekehendak hatinya. Di dalam UMNO pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli  hanya diminta bertepuk dan bersorak dalam perhimpunan agung sahaja.
Dr Mahathir menebas sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan beliau atau pun mereka yang dianggap lebih cerdik dari beliau. Beliau seorang penebas termasuk menebas Hakim-Hakim yang menjalankan tugas dengan baik. Tetapi kerja baik dan tindakan yang betul oleh Hakim-Hakim  itu tidak menyenangkan kedudukan beliau,  maka hakim-hakim itu menjadi mangsa beliau. Habis Hakim-Hakim yang baik ditebasnya.
Sekarang beliau tidak mengaku menebas Hakim-Hakim tersebut. Beliau menyalahkan ‘parang panjang bengkok’ pula. Beliau berkata yang menebas itu bukannya beliau. Yang menebas itu adalah parang panjang bengkok’ itu tadi. Beliau hanya menghayun ‘parang panjang bengkok’ itu sahaja dan yang menebasnya ialah ‘parang bengkok’ itu, bukannya beliau.
Justeru yang menebas dan membuang Hakim-Hakim Mahkamah Agong itu ialah Yang di Pertuan Agong, bukannya beliau. Beliau hanya memaksa Agong untuk mengadakan ‘Tribunal Khas’ untuk membuang Hakim-Hakim itu.
Itu sebabnya Tribunal Khas itu diwujudkan pada 1hb Mei 1988 ia itu pada hari Pekerja dan hari Ahad pula. Pandai Dr Mahathir ini, tetapi kepandaiannya ialah untuk melakukan mungkar terhadap negara dan sistem negara kita.
Patut pun Najib sebagai salah seorang pewaris kepada kepimpinan beliau lebih teruk dari beliau. Benarlah ‘jika bapak kencing berdiri, anaknya kencing berlari’. Yang sengsara negara dan rakyat. Elok kita minta semua pemimpin yang berjawatan terutamanya dalam Kabinet dan Majlis Tertinggi UMNO untuk membuka mulut mereka luas-luas. Kita mahu tengok apa kah jenis lidah yang ada dalam mulut-mulut mereka ini.
Kalau ada masa dan waktu yang cukup elok kita ‘revisit’ apa sebenarnya berlaku sehingga terpecatnya Hakim-Hakim Mahkamah Agong itu pada tahun 1988 dahulu.

No comments: