PULAU PINANG 3 JULAI: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membidas kenyataan terbuka Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman yang menafikan penglibatan Umno negeri itu dengan sebuah demonstrasi ganas Jumaat lalu.
“Kerajaan negeri Pulau Pinang berasa terkejut dengan pembohongan terbuka Zainal Abidin Osman yang mendakwa Umno tidak terlibat dengan demonstrasi ganas yang mengganggu aliran trafik sejauh 10 kilometer dan menyerang dua wartawan pada 1 Julai lalu di Komtar dan Jambatan Pulalu Pinang,” kata Guan Eng dalam kenyataan medianya hari ini.
Menurut Guan Eng, penafian yang dibuat oleh Zainal sekaligus menunjukkan sikap pengecut Umno Pulau Pinang walhal pada hari tersebut Senator dari Umno, Ezam Mohd Noor sendiri ditangkap polis kerana terlibat dalam demonstrasi itu.
“Rakam video menunjukkan Senator Umno, Ezam Mohd Noor ditangkap polis kerana terlibat dalam perhimpunan haram menunjukkan Umno adalah pengecut kerana menafikan penglibatan mereka. Ini adalah contoh terbaik peribahasa Melayu, “baling batu sembunyi tangan”,” kata Guan Eng.
Tambah beliau, Zainal bersikap berani dan memohon maaf kepada orang ramai di atas penglibatan Umno dalam demonstrasi ganas tersebut.
Dalam pada itu, Guan Eng turut menyatakan kekesalannya di atas tindak tanduk Ezam yang menghasut orang ramai untuk menggulingkan dirinya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.
“Di manakah hormat yang perlu ditunjukkan oleh Umno terhadap demokrasi dan mandat saya selaku Ketua Menteri yang sah?” kata Guan Eng.
Malah ujarnya, layanan media arus perdana terhadap insiden-insiden yang melibatkan pemimpin Umno-Barisan Nasional juga kekal berat sebelah apabila tidak ada satu pun media itu melaporkan tentang penahanan Ezam.
“Tiada langsung berita oleh News strait Times tentang dua wartawan yang diserang Umno mahu pun peserta demo yang menghalang laluan trafik di tengah Jambatan Pulau Pinang sehingga menyebabkan kesesakan trafik sejauh 10 kilometer. Pemimpin Umno Negeri dan Pemuda Umno turut hadir pada perhimpunan haram yang ganas itu,” kata Guan Eng.
Dalam kejadian pada Jumaat lalu, Pemuda Umno Pulau Pinang bersama Perkasa Pulau Pinang berarak dari Masjid Kapitan Keling sehingga ke bangunan Komtar kononnya menuntut Guan Eng meletak jawatan kerana menyokong himpunan Bersih yang akan berlangsung 9 Julai ini.
Dalam demonstrasi ganas itu, beberapa cermin kereta dipecahkan dan dua wartawan dari akhbar Cina juga dicederakan.