Zunar: Ambil risiko dengan kehormatan sebagai manusia

Berkecuali, tidak memihak mana-mana pihak, atau istilah "neutral", sering menjadi sikap manusia yang enggan mengambil risiko untuk menghalang kezaliman daripada berlaku. Namun, "kalam" telah menyedarkan Zunar, bahawa "even my pen has a stand" (bahkan kalam mempunyai pendirian), apatah lagi kartunis sebagai manusia?

Zunar (gambar kiri), atau nama asalnya Zulkiflee Anwar Ulhaque mengisahkan bagaimana dirinya mendapat inspirasi untuk nama bukunya yang keempat, "Even My Pen Has A Stand", dalam majlis pelancaran bukunya, semalam. Beliau menamakan bekas yang digunakan untuk mencelupkan pen dakwatnya itu sebagai "pen stand", lantas menyedari bahawa "bahkan kalam mempunyai pendirian" (stand dalam bahasa Inggeris juga bermakna pendirian).

Sambil mengambil contoh bagaimana seseorang Mat Rempit (jenaka Zunar: kini dinamakan Patriot) yang "kebetulan" berpakaian merah, meragut beg seorang wanita (jenaka Zunar: yang berasal dari Mongolia) di stesen bas, beliau bertanya apakah kita yang berada di situ akan berdiam diri?

"Sekiranya kita berdiam diri, bererti kita membantu mereka yang zalim!" tegas Zunar, membidas sikap sesetengah orang yang mendakwa dirinya mahu bersikap "neutral". Beliau meneruskan, sudah semestinya setiap langkah yang kita ambil ada risikonya, "Tetapi, risiko itu kita ambil dengan kehormatan kita sebagai manusia."

Beliau menambah, kita mungkin luka, jikalau mengejar Mat Rempit yang mempunyai pisau; tetapi kita akan lebih berhormat daripada mereka yang hanya berdiri memandang apa yang sedang berlaku dan tidak terluka.

Kira-kira 150 orang hadir dalam majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam. Majlis pelancaran ini dianjurkan penerbit buku ini, iaitu Malaysiakini; dirasmikan oleh ahli parlimen Pantai Dalam, Nurul Izzah Anwar. Malah, tetamu khas yang hadir memberi sokongan termasuklah Sasterawan Negara, A Samad Said, peguam dari Lawyers for Liberty, Fadiah Nadwa Fikri, Kelab Kartun Independen, Ronasina, Senator Syed Husin Ali dan aktivis dalam gerakan sosial.

Tidak lukis karya yang bertentangan dengan pendirian

Zunar turut menceritakan proses bagaimana kartunnya dihasilkan, bermula dengan memahami isu dari pelbagai sumber, kemudian mengambil pendirian dalam isu tersebut, dan akhirnya mempersembahkannya dalam kartun dengan unsur-unsur humour. Peringkat ketiga adalah peringkat yang paling memakan masa buat dirinya, dan beliau menegaskan bahawa dirinya tidak akan melukis kartun yang bertentangan dengan pendiriannya.

"Saya berani pertahankan (karya saya) kerana saya ada hujah-hujah di sebaliknya," katanya sambil mengambil contoh bagaimana kartunis Utusan Malaysia yang mencungkil kontroversi dengan karyanya itu hanya berdiam diri apabila dipertikaikan.

"Kita tidak boleh menghormati karyawan yang tidak boleh mempertahankan karyanya," tekan Zunar, yang bertegas bahawa seseorang karyawan bertanggungjawab untuk memberi mesej yang tepat kepada pembacanya.