ROSLI NAFI TERLIBAT

KUALA LUMPUR 27 Jun - Adik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rosli, hari ini menafikan beliau pernah dilantik sebagai penasihat syarikat milik kerajaan negeri Selangor, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
Menurutnya, dakwaan itu tidak benar sama sekali dan ia dilakukan bertujuan menjatuhkan maruah dan mengaibkan abangnya yang merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Beliau berkata, bekas Setiausaha Anwar, Mohamad Ezam Mohd. Nor seharusnya mengemukakan bukti mengenai perkara itu terlebih dahulu, sebelum mengeluarkan kenyataan yang kelak akan memakan dirinya sendiri.
''Dia (Mohamad Ezam) jangan lupa bahawa abang saya pernah menjadi majikannya. Justeru, sebelum membuat sebarang tuduhan yang menganiaya orang lain, dia patut fikir dahulu,'' katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini yang mempersoalkan kemungkinan Anwar mengamalkan nepotisme dengan melantik ahli keluarga sebagai penasihat dalam KDEB.
Rosli menegaskan, beliau tidak pernah dilantik secara rasmi sebagai penasihat dalam syarikat tersebut.
Justeru, beliau tidak dapat menjelaskan bagaimana perkara itu kini boleh menjadi isu.
Bagaimanapun, Rosli mengakui, beliau mengenali Presiden KDEB, Datuk Abdul Karim Munisar sejak lebih 20 tahun lalu.
Katanya, sebagai rakan perniagaan, beliau ada memberi nasihat kepada Abdul Karim ketika Presiden KDEB itu berhadapan dengan masalah.
''Saya tidak terlibat atau mempunyai kaitan langsung dengan KDEB dan saya mempunyai syarikat sendiri.
''Sebagai adik kepada seorang yang berpengaruh, tohmahan seperti ini memang tidak dapat dielakkan,'' ujarnya.
Beliau kesal dengan tindakan Mohamad Ezam itu yang sebelum ini pernah menganggap Anwar sekeluarga seperti keluarganya sendiri.
Menurut Rosli, anggapan itu kini telah berubah apabila Mohamad Ezam sanggup menikam 'ahli keluarganya' dari belakang.

No comments: