UMNO-AMANAH lebih serasi, jangan jadi ‘Si Kitol’ dalam perjuangan Melayu


 


Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Muhammad Faiz Fadzil berpandangan kerjasama antara UMNO dan AMANAH lebih sesuai berbanding gagasan penyatuan politik Melayu yang melibatkan pelbagai parti.

Menurutnya, sinergi antara UMNO dan AMANAH berpotensi melahirkan idea yang lebih bernas dan mampan kerana menggabungkan pengalaman lama dengan pendekatan progresif yang dibawa oleh AMANAH.

“UMNO dan PAS tidak boleh bersatu kerana kedua-duanya membawa perjuangan Melayu yang konservatif, manakala AMANAH lebih progresif.

“Maka saya berfikiran kerjasama UMNO-Amanah lebih sesuai kerana ia akan menghasilkan idea yang lebih bernas dan mampan atas sinergi lama dan baharu,” katanya.

Faiz turut menegaskan bahawa perjuangan memartabatkan Melayu mesti didasari oleh keikhlasan, integriti dan sikap realistik.

Beliau turut mengingatkan bahawa pengkhianatan dalam gabungan politik hanya akan memusnahkan kekuatan Melayu.

“Jangan ada lagi sifat Si Kitol. UMNO perlu buktikan tiga perkara ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Musyawarah Nasional yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Faiz menyifatkan program tersebut sebagai satu usaha yang baik dan positif untuk membedah pelbagai permasalahan serta keresahan orang Melayu dalam aspek agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial.

Bagaimanapun, beliau menegaskan musyawarah itu tidak harus dilihat sebagai platform penyatuan parti-parti politik Melayu kerana perbezaan idea perjuangan antara parti adalah satu realiti yang tidak boleh dinafikan.

‘Ali Baba’

Dalam masa sama, Faiz menegur pendekatan ekonomi Melayu yang menurutnya masih berpaksikan idea lama dan tidak lagi selari dengan realiti Malaysia baharu yang dikuasai generasi muda.

Tegasnya, orang Melayu tidak boleh terus bersikap tertutup, sebaliknya perlu berani bersaing dalam ekonomi majmuk dan global.

Sistem ‘Ali Baba’ yang menguntungkan kelompok tertentu, jelasnya, menjadi penghalang utama kepada kemajuan ekonomi Melayu walaupun ramai dalam kalangan orang Melayu mempunyai kelayakan tinggi.

Selain itu, beliau turut mengingatkan bahawa Islam tidak boleh dijadikan alat tunggangan politik.

“Islam mesti dilihat sebagai agama yang dihormati dan rahmat untuk semua.

“Idea Islam yang sempit dan konservatif tidak sesuai dengan kehendak Islam sebenar dan demografi Malaysia,” katanya.

Faiz turut menegaskan bahawa institusi Raja yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan Malaysia mesti terus dipertahankan.

Beliau berkata, integrasi sosial juga perlu dibina melalui pemikiran Melayu yang sederhana dan harmoni, bukannya pendekatan “holier than thou” yang menurutnya diamalkan oleh UMNO dan Pas.

“Melayu bukan jaguh kampung tetapi perlu dilihat sebagai penyatu bangsa yang pelbagai dalam Malaysia,” katanya.

Beliau juga menambah bahawa sistem pendidikan negara memerlukan reformasi menyeluruh berasaskan sains dan teknologi agar selari dengan hala tuju ekonomi negara.

Menurutnya, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dilaksanakan secara komprehensif untuk melahirkan modal insan yang lebih berdaya saing.





No comments: