Pendakwaan Bekas Pembantu Teresa Kok Bukti Tiada Siapa Kebal Undang-Undang – Faizul

 


Faizul tegaskan ia bukan sahaja memastikan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dipelihara, malah dikuat kuasakan kepada sesiapa tanpa mengira darjat atau kedudukan.

JOHOR BAHRU, 11 Mei – Pendakwaan yang dikenakan terhadap seorang bekas pembantu Teresa Kok didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu Ahli Parlimen Seputeh itu dan menerima rasuah sebanyak RM500,000, dua tahun lalu, membuktikan tiada mana-mana pihak ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang.

Menurut penganalisis politik, Faizul Abdul Ghani, biarpun Teresa merupakan ahli parlimen senior dalam kerajaan mahupun ketika pembangkang, ia tidak menjadi halangan bagi mana-mana agensi kerajaan daripada bertindak tegas apabila melanggar undang-undang.

“Saya berpandangan, sebarang salah laku mahupun salah guna kuasa termasuk dilakukan mana-mana pegawai kepada ahli parlimen kerajaan atau pembangkang wajar dikenakan tindakan tegas menurut lunas undang-undang sedia ada.

Bekas pegawai Teresa Kok, Edmund Teoh Kheng Yaik hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi didakwa atas pertuduhan menipun dan menerima rasuah sebanyak RM500,000 pada 11 Mei 2026. Foto Shediqque Zon

“Tindakan sebegini bukan sahaja memastikan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dipelihara, malah dikuat kuasakan kepada sesiapa tanpa mengira darjat atau kedudukan.

“Saya juga memuji tindakan Teresa (Kok) yang tidak menyembunyikan sebarang salah laku para pegawainya yang menyeleweng malah memberi ruang seluas-luasnya untuk pihak berkuasa menyiasat bagi menjaga integriti beliau dan kerajaan MADANI,” ujarnya.

Terdahulu, bekas pegawai Teresa, Edmund Teoh Kheng Yaik, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim, Suzana Hussin.

Bekas pegawai Teresa Kok, Edmund Teoh Kheng Yaik hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi didakwa atas pertuduhan menipun dan menerima rasuah sebanyak RM500,000 pada 11 Mei 2026.

Mengikut pendakwaan, dia dituduh memperdaya Teresa untuk mempercayai hanya dua buah sekolah sahaja di kawasan parlimen itu yang memohon sumbangan papan pintar interaktif menerusi My-Khas di bawah Projek Mesra Rakyat sedangkan terdapat 16 buah sekolah yang memohon sumbangan tersebut.

Perkara itu didakwa dilakukan di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seputeh, Jalan Kuchai Lama, di sini pada Jun 2024.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Kheng Yaik didakwa menerima rasuah wang tunai RM500,000 daripada Ainuddin Aminuddin sebagai upah membantu mendapatkan sumbangan pembekalan papan pintar interaktif dan bekalan berkaitan untuk 16 buah sekolah itu menerusi TMT IT Solutions milik isteri Ainuddin.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan tempat letak kereta sebuah stesen minyak di Kuchai Lama pada 12 Ogos 2024.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah suapan atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaluddin, tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara mahkamah, pendakwaan mencadangkan jaminan RM150,000 dengan seorang penjamin.

Pihak pendakwaan turut meminta syarat tambahan dikenakan termasuk penyerahan pasport, lapor diri di pejabat SPRM terdekat satu bulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, Kheng Yaik yang diwakili peguam, MN Lo memohon agar jumlah ikat jamin yang rendah diberikan atas alasan anak guamnya mempunyai anak kecil yang masih bersekolah serta pendapatan bulanan sekitar RM3,000 ke RM4,000.

Hakim kemudian menetapkan jamin RM60,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh diperintah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Tertuduh juga diperintah untuk lapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan secara sendiri atau melalui pihak ketiga sehingga kes selesai. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 Julai ini.



No comments: