
Kedudukan semasa ringgit apabila diniagakan pada RM3.9260/9280 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) jam 1 tengah hari 11 Mei 2026. Foto Yahoo Finance
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ringgit susut sedikit setakat tengah hari ini apabila diniagakan pada RM3.9260/9280 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Pasaran tempatan dibayangi kebimbangan susulan kenyataan daripada Presiden AS, Donald Trump yang menolak syor Iran untuk menghentikan peperangan di Asia Barat yang meningkatkan risiko harga minyak akan terus meningkat.
Terdahulu, matawang tempatan itu dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan pelabur memantau rundingan damai yang sedang berlangsung berhubung krisis di Asia Barat, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9170/9230 berbanding dolar AS daripada 3.9185/9230 semasa ditutup pada Jumaat lalu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata sentimen pasaran terus tertumpu kepada perang di Iran, dengan rundingan damai yang sedang berlangsung dilihat sukar dicapai dalam laporan yang tidak konsisten mengenai perkembangan rundingan tersebut.
“Harga minyak yang tinggi menjejaskan margin perniagaan dan perbelanjaan pengguna di seluruh dunia, membawa kepada kemungkinan pelaburan dan perbelanjaan pengguna menjadi lembap.

“Oleh itu, kesediaan peniaga untuk mengambil risiko dijangka kekal berhati-hati,” katanya kepada Bernama.
Setakat ini, harga minyak mentah Brent meningkat 3.55 peratus kepada AS$104.93 setong.
Mohd Afzanizam berkata, laporan senarai gaji bukan ladang AS meningkat kepada 115,000 pada April berbanding anggaran konsensus sebanyak 62,000, menunjukkan pasaran tenaga kerja AS kekal berdaya tahan dan Rizab Persekutuan AS mungkin tidak tergesa-gesa untuk menurunkan kadar faedah.
Oleh itu, katanya ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dan peniaga turut menjangkakan pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2026 pada Jumaat ini.
No comments:
Post a Comment