SAYA SIMPATI PADA ANWAR




13 Mei 2026


Saya sesungguhnya amat bersimpati kepada Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim atas beberapa sebab.


Pertama, hasil kajian yang dilakukan oleh PKR sendiri mendapati kerusi Parlimen yang sekarang didudukinya - Tambun - didapati bukan lagi kerusi yang selamat buat parti itu pada PRU akan datang.


Apabila kerusi Tambun dikategorikan sebagai kerusi yang marginal atau tipis buat PKR, bermakna ia juga kerusi yang marginal atau tipis untuk Anwar terus bertanding di kerusi itu.


Sepatutnya, oleh sebab Tambun telah dimenangi oleh Anwar, kerusi itu kekal selamat, tak kira sama ada beliau bertanding lagi di situ atau orang lain menggantikannya.


Takkan pengundi Tambun tak teruja dan terus setia kerana dapat Perdana Menteri sebagai Ahli Parlimen mereka?


Sejak merdeka, setiap Perdana Menteri sentiasa ada kerusi yang selamat dan tetap buat mereka.


Contohnya, Tun Mahathir Mohamad di Kubang Pasu, Tun Abdullah Badawi di Kepala Batas, Najib Razak di Pekan, Muhyiddin Yassin di Pagoh dan Ismail Sabri Yaakob di Bera.


Selain dalam keadaan parti menguasai kerajaan dan mereka bergelar Perdana Menteri, kawasan tersebut dengan mudah dimenangi, bahkan ketika parti kecundang, misalnya Najib pada 2018 dan Ismail Sabri pada 2022, kedua-duanya tetap berjaya menang di Pekan dan Bera.


Tidak pernah sama sekali sebelum ini kerusi Parlimen yang sedang diwakili Perdana Menteri dikategorikan sebagai kerusi yang tidak selamat.


Malang sekali buat Anwar, dalam keadaan beliau masih bergelar Perdana Menteri, kerusi Tambun yang didudukinya sudah dikategorikan sebagai kerusi yang tidak selamat.


Ini membuatkan saya simpati.


Kedua, hasil dapatan yang sama juga mendapati hanya ada tujuh kerusi yang selamat buat PKR pada PRU16 iaitu Bayan Baru, Selayang, Ampang, Pandan, Subang, Petaling Jaya dan Batu.


Anwar adalah Perdana Menteri yang tersohor dan disanjung tinggi di seluruh dunia dan dalam semua lawatannya ke pelbagai negara, sambutan dan keraian yang diberikan kepadanya amat membangakan kita sebagai rakyat Malaysia.


Bahkan ramai pemimpin dunia boleh dihubunginya hanya melalui telefon dan Presiden Iran misalnya, dengan mesra memanggilnya “Brother Anwar.”


Pendeknya, jika beliau bertanding di beberapa negara yang pernah dilawatinya itu, senang-senang kemenangan boleh diraihnya.


Tetapi sayang sekali, di negaranya sendiri dan ketika beliau masih bergelar Perdana Menteri, hanya ada tujuh kerusi selamat untuk partinya.


Dengan PKR hanya ada tujuh kerusi yang selamat, macam mana nak kekal berkuasa?


Sekali lagi, saya bersimpati kepada Anwar.


 Ketiga, di antara tujuh kerusi yang selamat itu, empat daripadanya berpihak kepada Kumpulan Rafizi Ramli, bekas Timbalan Presiden PKR yang kini menjadi musuh utamanya.


Ini bermakna, jika empat Ahli Parlimen pro Rafizi itu bertanding semula di kawasan tersebut, tak kira atas tiket apa, potensi untuk mereka menang adalah cerah sekali.


Kerusi Pandan yang kini diwakili Rafizi pula turut tersenarai antara tujuh kerusi yang selamat itu.


Keadaan ini menjadikan, meskipun Rafizi telah dikerat sebagai Timbalan Presiden PKR, beliau tetap mempunyai kerusi yang selamat berbanding Anwar selaku Presiden PKR sendiri.


Sungguh-sungguh  saya simpati dibuatnya.


Keempat, apabila PKR sendiri mendapati kerusi Tambun tidak lagi selamat, di mana Anwar mahu bertanding pada PRU akan datang?


Berikutan Anwar didapati tidak lagi kerap turun ke Tambun, tidak sebagaimana beliau rajin turun ke Port Dickson sebelum ini,  banyak khabar mengatakan beliau tidak lagi bertanding di kerusi tersebut selepas ini.


Ada yang mengatakan beliau akan berpatah balik ke Permatang Pauh atau mungkin bertanding di salah satu daripada tujuh kerusi yang dikategorikan selamat itu, tetapi jikq itu berlaku, ia menjadikan beliau satu-satunya Perdana Menteri Malaysia yang bersifat nomad atau berpindah randah.


Tidak sepatutnya seorang Perdana Menteri berpindah-randah dan tiada kerusi tetap yang selamat buatnya.


Kali ini bukan lagi simpati, bahkan rasa macam saya nak menangis dibuatnya.


Hakikatnya, kalau untuk dirinya pun tiada kerusi yang selamat, bagaimana Anwar mampu menyelamatkan PKR dan PH daripada hilang kuasa? - ShahbudinHusin 13Mei2026.


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1284087340381049&id=100063393840098



No comments: