Kerajaan menegaskan tiada sebarang keputusan dimuktamadkan setakat ini berhubung cadangan pengurangan kuota penggunaan petrol bersubsidi di bawah program BUDI95, walaupun isu tersebut mula menjadi perbincangan dalam kalangan rakyat sejak kebelakangan ini.
Sebaliknya, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, fokus utama kerajaan ketika ini ialah memperkemas pelaksanaan subsidi diesel menggunakan pendekatan sistem bersasar yang sama seperti BUDI95.
Menurut beliau, kerajaan kini sedang meneliti langkah penambahbaikan terhadap mekanisme pengurusan subsidi diesel bagi memastikan sistem sedia ada lebih cekap, mampan dan mampu mengurangkan ketirisan.
Katanya, antara cabaran terbesar yang sedang dihadapi ialah jurang besar antara harga diesel pasaran dan harga diesel bersubsidi yang membuka ruang kepada aktiviti penyeludupan serta penyalahgunaan subsidi.
“Apabila berlaku jurang yang ketara antara harga pasaran dengan harga bersubsidi, maka aktiviti seperti penyeludupan dan ketirisan berlaku dengan lebih ketara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada cadangan pengurangan kuota penggunaan RON95 di bawah program BUDI95 pernah dibincangkan pada peringkat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Kabinet.
Menurut Akmal, walaupun penguatkuasaan terhadap penyeludupan dan ketirisan subsidi terus dipertingkatkan, kerajaan melihat keperluan untuk melaksanakan pendekatan yang lebih menyeluruh dan sistematik.
Kenyataan tersebut secara tidak langsung memberi bayangan bahawa kerajaan masih berhati-hati dalam menyentuh isu subsidi petrol yang sering menjadi topik sensitif kepada rakyat.
Program BUDI95 sebelum ini diperkenalkan sebagai sebahagian usaha kerajaan menyusun semula mekanisme subsidi bahan api secara lebih bersasar supaya bantuan benar-benar sampai kepada golongan memerlukan.
Namun, sebarang perbincangan mengenai kemungkinan had penggunaan atau pengurangan kuota RON95 sering mencetuskan keresahan pengguna kerana melibatkan kos harian rakyat.
Akmal ditemui selepas pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor 2026 bertajuk Raising the Ceiling, Raising the Floor: The Jobs Agenda as a Productivity Agenda yang diterbitkan oleh World Bank.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menjelaskan mengenai pelancaran Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan Global yang diperkenalkan kerajaan bagi meningkatkan ketelusan maklumat berkaitan situasi bekalan dan harga semasa.
Menurut beliau, platform tersebut bertujuan membantu rakyat memahami bagaimana krisis global memberi kesan langsung kepada ekonomi domestik termasuk inflasi dan kos sara hidup.
Katanya, berdasarkan unjuran antarabangsa, kadar inflasi global bagi tahun 2026 dijangka mencecah 4.4 peratus, namun Malaysia setakat Mac lalu masih berjaya mengekalkan kadar inflasi pada paras 1.7 peratus.
Kerajaan, katanya lagi, menyasarkan inflasi negara kekal dalam lingkungan 1.5 hingga 2.5 peratus sepanjang tahun ini, satu angka yang dianggap masih terkawal berbanding banyak negara lain.
Dalam konteks semasa, kenyataan Akmal menunjukkan kerajaan MADANI kini cuba mencari keseimbangan antara mengurangkan ketirisan subsidi dan memastikan tekanan kos sara hidup rakyat tidak meningkat secara mendadak.
No comments:
Post a Comment