
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre berhubung isu pembatalan pembekalan Naval Strike Missile (NSM) pada 13 Mei 2026. Foto X Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 14 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bantahan keras Malaysia kepada Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre berhubung tindakan negara itu yang tidak meluluskan permit bagi perolehan sebuah siri peluru berpandu pada saat-saat akhir.
Anwar turut menyifatkan keputusan uniteral itu tidak boleh diterima kononnya demi ‘melindungi keselamatan Norway’.
Menurut beliau, Malaysia telah memenuhi setiap obligasi di bawah kontrak itu sejak 2018 dengan teliti, setia dan tanpa sebarang keraguan.
Namun, tegas beliau, Norway nampaknya tidak berasakan perlu untuk memberikan layanan yang sama serta menunjukkan niat baik terhadap Malaysia.
“Saya menegaskan bahawa keputusan ini akan membawa kesan serius terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan Malaysia dan program pemodenan Littoral Combat Ship (LCS).
“Ia juga pasti akan membawa implikasi yang lebih luas terhadap keseimbangan serantau,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Tambah Anwar, kontrak yang telah ditandatangani sebelum ini adalah instrumen yang tulen dan sah, bukannya konfeti untuk diperlakukan secara sewenang-wenangnya.
“Jika pembekal pertahanan Eropah berasakan mereka berhak mungkir janji tanpa sebarang akibat, maka nilai mereka sebagai rakan strategik akan lenyap begitu sahaja,” tegas Perdana Menteri.
Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Luar Norway menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan eksport negara itu.

Menurut laman web syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan peluru berpandu antikapal (NSM) dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) pada April 2018 dengan nilai kontrak 124 juta Euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu.
Peluru berpandu itu berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan jarak melebihi 300 kilometer.
No comments:
Post a Comment