
Tun Faisal cuba memberi gambaran bahawa negara jiran lebih stabil dan, oleh itu, Malaysia telah gagal. Foto Mahathir Mohd Rais
PENDAPAT, 12 Apr – Harga diesel naik. Jangan pula fakta dipermainkan.
Tun Faisal dengan retoriknya. Ambil kemarahan rakyat, campur dengan angka terpilih, kemudian hidang semula seolah-olah itulah keabsahan politik. Bunyi memang sedap kepada yang mahu marah. Tetapi seperti biasa, apabila diselak satu demi satu, yang tinggal cuma helah yang dibungkus dengan semangat rakyat.
Sebab itu, kemarahan rakyat bukan isu untuk dipertikai. Yang patut dipertikai ialah cara Tun Faisal memperdagangkan kemarahan itu.
Rakyat di Semenanjung memang ada sebab untuk marah. Diesel bukanlah sekadar harga di stesen minyak. Bila diesel naik, kos pengangkutan naik, kos barang naik, dan tekanan hidup jadi lebih berat.
Tambahan pula, kenaikan kali ini bukan berlaku sekali sahaja. Ia datang selepas beberapa siri kenaikan mingguan. Jadi reaksi rakyat itu bukan keterlaluan. Ia berpunca daripada beban yang benar-benar dirasai.
Di sinilah Tun Faisal bermain silap mata. Angka tertinggi diangkat setinggi langit, konteks dibuang ke longkang. Lalu dibentuklah satu gambaran seolah-olah semua rakyat Malaysia sedang menanggung beban yang sama. Itu bukan hujah. Itu manipulasi.
Struktur harga bahan api hari ini bersifat bersasar, bukan pukul rata. Ada harga bersubsidi, ada harga tidak bersubsidi, dan ada mekanisme perlindungan bersasar. Menyapu bersih semua kategori pengguna ke dalam satu naratif politik hanya akan menambah kekeliruan.
Dalam hal ini, rakyat berhak marah. Tetapi rakyat tidak wajar disogok dengan fakta separuh masak.
Tun Faisal cuba memberi gambaran bahawa negara jiran lebih stabil dan, oleh itu, Malaysia telah gagal. Hujah seperti ini mungkin sedap didengar, tetapi ia bukan hujah yang jujur. Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina masing-masing mempunyai pendekatan berbeza dalam mengurus harga bahan api. Ada yang bergantung pada kawalan yang lebih ketat.

Ada yang menyerap kos melalui beban fiskal yang besar. Ada juga yang melaras secara berperingkat. Jadi, mengambil angka mingguan di pam, kemudian terus membuat kesimpulan besar tentang kejayaan atau kegagalan sesebuah kerajaan, bukanlah analisis yang jujur.
Kalau mahu kritik kerajaan, kritiklah betul-betul. Cakap terus bahawa kenaikan diesel memberi tekanan besar kepada rakyat Semenanjung, khususnya kepada peniaga, sektor pengangkutan dan rantaian bekalan.
Tanya apa langkah jangka pendek yang boleh dibuat. Tanya juga apa pelan jangka panjang untuk mengurangkan pergantungan kepada diesel import. Itu baru kritikan yang ada nilai.
Ini bukan bermaksud kerajaan tidak boleh dikritik. Sebaliknya, kerajaan memang wajar ditekan untuk menjelaskan kepada rakyat sampai bila tekanan ini boleh ditanggung, apakah langkah segera untuk mengurangkan kesan kepada kos hidup, dan apakah rancangan jangka panjang untuk mengurangkan pergantungan negara kepada diesel import. Dalam isu seperti ini, rakyat berhak menuntut jawapan yang jelas dan dasar yang lebih baik.
Tetapi kritikan yang baik mesti datang dengan kejujuran. Bukan dengan memilih angka yang paling menguntungkan politik sendiri. Bukan juga dengan membiarkan rakyat marah tanpa dibekalkan gambaran yang lengkap.
Sebab itu, jika benar mahu membantu rakyat, pembangkang sepatutnya berperanan lebih matang. Mereka patut mengemukakan cadangan yang boleh memperkukuh daya tahan negara, membantu sektor pengangkutan dan perniagaan menyesuaikan diri, serta mempercepat usaha mengurangkan kebergantungan kepada bahan api yang terlalu terdedah kepada ketidaktentuan global.
Dalam hal ini, cadangan FELDA seperti memperluas penggunaan biodiesel B100 sekurang-kurangnya membuka ruang kepada perbincangan yang lebih berguna. Ia mungkin bukan penyelesaian segera, tetapi ia menunjukkan arah yang lebih bertanggungjawab daripada sekadar mengutip kemarahan rakyat sebagai modal politik.
Rakyat tidak perlukan kenyataan berbaur hasutan, tidak tepat atau provokatif. Rakyat mahukan perbahasan yang matang. Ketika dunia berdepan krisis tenaga yang semakin kompleks, semua pihak sepatutnya membantu negara untuk menjadi lebih berdaya tahan, bukan menambah kekeliruan.
Kerajaan pula mesti terus bekerja keras memastikan kestabilan ekonomi terpelihara. Pembangkang seharusnya tampil dengan cadangan yang bernas, bukan bermain politik sepanjang masa.
Rakyat bukan bodoh. Rakyat tahu bila hidup mereka semakin tertekan. Rakyat juga tahu membezakan antara kritikan yang jujur dengan politik yang hanya mahu menunggang kemarahan. Dalam isu diesel ini, beban yang ditanggung rakyat memang benar. Tetapi yang tidak benar ialah cubaan memutar isu yang rumit menjadi cerita mudah semata-mata untuk membina persepsi.
Rakyat sedang memikul kos sebenar. Ahli politik sepatutnya berhenti mempermainkan beban itu.
Oleh Dr Mahathir Mohd Rais






No comments:
Post a Comment