
Mohd Faezuddin berkata, kebimbangan itu berasas memandangkan PRN Johor pada 12 Mac 2022 ketika pandemik Covid-19 hanya mencatatkan kadar keluar mengundi sebanyak 54.92 peratus. Foto SPR
JOHOR BAHRU, 13 Apr – Tiada keperluan mendesak untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat susulan keadaan ekonomi yang tidak menentu serta ketidaktentuan global akibat krisis di Asia Barat.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohd Faezuddin Puad berkata, keadaan semasa dunia yang masih bergelut dengan ketegangan geopolitik serta gangguan rantaian bekalan dan tenaga memberi kesan langsung kepada rakyat, sekali gus memerlukan perhatian serius semua pihak.
“Tatkala dunia masih bergelut dengan ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan tenaga, kita seharusnya peka, prihatin dan sensitif terhadap keadaan semasa yang sedang ditanggung rakyat.
“Selain itu, turut dibimbangi rakyat mungkin memilih untuk tidak keluar mengundi kerana terbeban dengan kos pergerakan yang semakin tinggi lalu mandat yang lahir berisiko tidak benar-benar mencerminkan suara majoriti rakyat Johor,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Faezuddin berkata, kebimbangan itu berasas memandangkan PRN Johor pada 2022 yang berlangsung ketika pandemik Covid-19 hanya mencatatkan kadar keluar mengundi sebanyak 54.92 peratus.
Justeru katanya, AMK Johor menyarankan supaya menangguhkan dahulu PRN Johor sehingga keadaan benar-benar stabil dan tenang.

“Buat masa sekarang kepentingan rakyat perlu didahulukan berbanding percaturan politik,” katanya yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Pulai.
Sebelum ini, timbul desas-desas mendakwa PRN Johor mungkin diadakan tahun ini walaupun tempoh mandat kerajaan negeri hanya akan berakhir pada Mac tahun depan.

No comments:
Post a Comment