Mat Sabu: Umat Islam lemah kerana berpecah, bukan Israel terlalu kuat




 


Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu berpendapat kelemahan umat Islam ketika ini bukan berpunca daripada kekuatan Israel, sebaliknya akibat perpecahan dalaman.

Beliau berkata, dalam keadaan konflik berterusan di Asia Barat, umat Islam masih terperangkap dalam perbalahan mazhab dan perbezaan aliran, sedangkan pihak lawan tidak membezakan latar belakang dalam menghadapi musuh.

Menurutnya, sejarah menunjukkan pelbagai tokoh dari latar berbeza termasuk ulama, pemimpin gerakan Islam, serta tokoh nasionalis dan kiri menjadi sasaran kerana menentang Zionisme, tanpa mengira ideologi atau pegangan.

“Musuh memahami bahawa sesiapa sahaja yang menentang Zionisme adalah ancaman, tanpa mengira mazhab atau aliran,” katanya dalam satu kenyataan.

Lebih mesra disapa dengan nama Mat Sabu, beliau turut mengkritik keadaan semasa yang menyaksikan umat Islam terus berpecah, walaupun berdepan isu besar seperti konflik di Palestin.

Beliau berkata, perpecahan itu bukan sahaja melemahkan kekuatan kolektif umat, malah mengalihkan fokus daripada isu utama kepada pertelingkahan dalaman.

Dalam masa sama, beliau turut menyentuh peranan sebahagian negara Islam yang menurutnya masih bergantung kepada kuasa besar, sekali gus menjejaskan usaha penyatuan dalam menghadapi cabaran global.

Katanya, keadaan itu berbeza dengan gerakan solidariti antarabangsa yang melibatkan masyarakat bukan Islam, yang dilihat lebih bersatu dalam menyuarakan sokongan kepada Palestin.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam kembali memberi tumpuan kepada keutamaan sebenar, termasuk memperkukuh perpaduan dan mempertahankan golongan tertindas.

Beliau menegaskan, selagi perpecahan terus berlaku, umat Islam akan kekal lemah walaupun memiliki jumlah dan sumber yang besar.

“Israel tidak kuat. Tetapi umat Islam menjadi lemah kerana memilih untuk terus berpecah,” katanya.

No comments: