BELUM TENTU SEBAB BERSATU DSH BERSEPAI.



 PRU16 - PN BAKAL AMBIL ALIH TEMPAT PH


7 April 2026


Parti mana boleh menang PRU akan datang?


Mampukah PH terus mengetuai penubuhan kerajaan dan dapatkah Anwar Ibrahim kekal lagi sebagai Perdana Menteri?


Baik sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu atau ketika pulang ke kampung menyambut lebaran baru-baru ini, soalan itulah paling banyak diutarakan dan diminta jawapan oleh kenalan dan kawan-kawan.


Sebagai pemerhati perkembangan politik dan telah menyaksikan banyak PRU, PRN dan PRK sebelum ini, secara jujur saya melihat kedudukan PH dalam PRU akan datang boleh dikata tiada lagi harapan.


Jika pada PRU15 lalu, PH mampu memenangi 82 kerusi Parlimen dan merupakan jumlah terbanyak mengatasi PN dan BN, angka atau kedudukan itu mustahil mampu dicapai lagi.


Ada dua sebab utama  menyumbang kepada keadaan itu - pertama, rakyat  sudah tidak percaya dan rasa kecewa dengan prestasi PH sebagai kerajaan berbanding bulan bintang yang dijanji semasa menjadi pembangkang dahulu dan kedua kerana faktor  Rafizi Ramli.


Anwar yang diharapkan mampu tampil sebagai Perdana Menteri terbaik setelah kuasa ada dalam tangannya, rupa-rupanya masih mengekalkan watak sebagai Ketua Pembangkang dan asyik menyalahkan orang lain.


Jika semasa bergelar Ketua Pembangkang, beliau kerap menyalahkan kerajaan, tetapi setelah menjadi kerajaan, telunjuknya menuding pula menyalahkan kerajaan terdahulu dengan ayat seperti - dulu masa jadi kerajaan, kenapa kamu tak buat?


Ini membuatkan ramai yang mula bercakap, lebih baik beliau dikembalikan semula sebagai Ketua Pembangkang berbanding mengekalkannya lagi sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua.


Berdasarkan penelitian semasa, kelompok yang makin menjauhi Anwar dan PH sekarang ini bukan saja daripada kalangan pengundi Melayu, tetapi juga pengundi bukan Melayu.


Realitinya, ini adalah petunjuk bahaya yang serius buat PH kerana kantung sokongan mereka selama ini adalah daripada kelompok pengundi bukan Melayu.


Kedudukan PKR dan PH bertambah parah lagi bila mana  Rafizi sejak kebelakangan ini didapati begitu aktif menyerang Anwar dan kerajaan melalui siri podcast mingguannya.


Daripada 31 Ahli Parlimen PKR, 10 daripadanya adalah pemimpin yang setia dengan Rafizi dan mereka sering mempamerkan kebersamaan pendirian dalam pelbagai isu semasa.


Dengan janji Rafizi bahawa beliau bakal mewujudkan wadah baru sebagai platform untuk kumpulannya bertanding pada PRU akan datang, ini tentunya merupakan suatu bentuk ancaman yang lebih tersusun untuk kumpulan tersebut menentang PKR.


10 Ahli Parlimen tersebut, melalui gerak kerja yang akan diusahakan Rafizi dan berdasarkan sambutan semasa rakyat terhadap isu-isu berkaitan kerajaan yang beliau bangkitkan, semua mereka diyakini mampu mengekalkan kerusi masing-masing pada PRU akan datang.


Peluang beroleh kemenangan itu akan bertambah cerah lagi jika PN pula tidak meletakkan calon di semua kerusi yang berlaku pertandingan antara Kumpulan Rafizi dengan PKR itu.


Bayangkan jika pada PRU akan datang, Kumpulan Rafizi bukan setakat bertanding 10 kerusi Parlimen, tetapi di semua 31 kerusi yang dimenangi PKR pada PRU lepas?


Serangan berterusan Rafizi kepada Anwar, PKR dan kerajaan, selain menjejaskan peluang PKR dan PH untuk beroleh kemenangan, ia secara tidak langsung juga memberi kelebihan kepada PN.


Dengan PN dijangka kekal sebagai lubuk pengundi Melayu mencurahkan sokongan, kehadiran Rafizi yang memusuhi Anwar dan kerajaan akan menambahkan lagi sokongan kepada gabungan tersebut, khususnya daripada pengundi Melayu bandar dan profesional.


Akhirnya PN dijangka mampu memenangi jumlah kerusi Parlimen paling banyak pada PRU akan datang, mengambil alih tempat PH yang berada di kedudukan itu pada PRU lepas.


Kebarangkalian seterusnya ialah apabila PKR dan PH semakin berpotensi kalah banyak kerusi, ia juga akan menyebabkan BN terkena tempiasnya.


Sama ada BN mengekalkan kerjasamanya dengan PH atau bertanding solo pada PRU akan datang, peluangnya untuk menang banyak kerusi tetap tipis.


Peluang BN hanya akan bertukar cerah jika mereka sedia meninggalkan kerajaan dan membentuk kerjasama secara rasmi dengan PN sebelum PRU16 diadakan.


PN dan BN, jika sedia bekerjasama sebelum PRU16 diadakan, senang-senang mampu memenangi minima 112 kerusi Parlimen.


Yang tidak harus dinafikan, peluang BN untuk bangkit semula hanyalah dengan bekerjasama dengan PN, bukan kekal bersama PH. - ShahbudinHusin 07April2026.


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1255670909889359&id=100063393840098



No comments: