Pas terdesak main sentimen kaum bukan merit isu lantikan menteri
Parti Amanah Negara (AMANAH) menyelar kenyataan rasis Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkaitan perlantikan Jemaah Menteri berdasarkan sentimen perkauman dan dilihat berniat mencetuskan sentimen kebencian dalam masyarakat majmuk negara ini.
Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, sebagai parti Islam, Pas seharusnya memperjuangkan perpaduan kaum sepertimana suara parti tersebut ketika sekapal dengan DAP sebelum ini.
“Takiyuddin tidak sepatutnya mempertikaikan pelantikan YB Hannah Yeoh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan serta timbalannya hanya berdasarkan latar belakang mereka yang berbangsa Cina.
“Seorang lagi Menteri etnik Cina, YB Nga Kor Ming, juga menjadi mangsa Takiyuddin yang cuba bermain naratif “DAP mendominasi Kuala Lumpur” dengan mengaitkan jawatan YB Nga Kor Ming sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” tegas Faiz menerusi kenyataan hari ini.

aler utuh
Terdahulu, Takiyuddin mengkritik pelantikan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, selain mengekalkan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Takiyuddin berkata, pemusatan pentadbiran strategik bandar, kerajaan tempatan dan perumahan di bawah pemimpin daripada satu parti serta latar belakang etnik yang sama menimbulkan persoalan sah berkaitan ketidakseimbangan, pemusatan kuasa melampau dan hala tuju sebenar pentadbiran negara.
Pas turut mengambil perhatian terhadap persepsi meluas bahawa pelantikan berkenaan tidak dibuat berasaskan merit atau keperluan dasar, sebaliknya didakwa dipengaruhi tekanan dan tawar-menawar politik, termasuk spekulasi berkaitan tuntutan DAP dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“Sekiranya jawatan Kabinet digunakan sebagai ‘bunga emas’ politik bagi mengekalkan sokongan dan kesetiaan mana-mana pihak, ia merupakan hakisan serius terhadap idea dan institusi kerajaan berprinsip,” kata Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Berpisah tiada
Mengulas lanjut, Faiz berkata, kenyataan pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu dibuat hanya selepas beberapa bulan seorang lagi pemimpin Pas, Zaharudin Muhammad, bermain sentimen kaum berhubung pelantikan Datuk Johnny Lim Eng Sen menjadi Lefternan Jeneral.
Jelas, tegas Faiz, Pas dan sentimen perkauman berpisah tiada, walaupun sedar Islam mencegah perjuangan atas nama kaum.
Beliau berkata, pelantikan Hannah Yeoh sepatutnya dinilai berdasarkan merit dan rekod prestasi pemimpin DAP berkenaan sebagai Menteri dan Ahli Parlimen.
“Sokongan yang diterimanya datang daripada rakyat pelbagai bangsa, satu perkara yang jelas gagal dicapai oleh Pas, yang terdesak bermain dalam politik garis keras dan eksklusif.
“Pas seharusnya menjadikan ayat Al-Quran surah al-Qasas:26 sebagai panduan yang menerangkan dua syarat memilih pemimpin iaitu kompeten dan amanah,” jelasnya.

Faiz menegaskan Hannah hakikatnya merupakan Ahli Parlimen Segambut, yang terletak dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Oleh sebab itu, ujarnya, pelantikan Hannah sebagai Menteri Wilayah Persekutuan bukan sahaja wajar, malah tepat dari segi kefahaman kawasan, tanggungjawab dan keperluan rakyat setempat.
“Ironinya, Pas menyokong YB Hannah Yeoh sebagai Speaker DUN Selangor sesi 2008 lalu,” katanya.
Menakutkan rakyat
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir di Pulau Pinang itu berkata, tidak timbul sama sekali isu DAP dan etnik Cina menguasai pentadbiran kerajaan Madani.
“Ini adalah naratif menakut-nakutkan rakyat yang sudah lapuk. DAP hanya mempunyai lima ahli Kabinet iaitu 15% daripada 32 menteri (termasuk PM and Timbalan PM).
“Peratusan ini lebih rendah daripada kerusi DAP di Parlimen, iaitu 40 daripada 222 kerusi atau 18%,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa dalam sistem pentadbiran negara, setiap dasar termasuk isu penting seperti Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) mesti dibentangkan dan diluluskan oleh Jemaah Menteri secara kolektif yang majoritinya Menteri Melayu Islam berjumlah 21 orang atau hampir 64% daripada keseluruhan komposisi Kabinet sedia ada.
“Jika Kabinet kerajaan Madani masih dikuasai oleh orang Melayu Islam, di mana logiknya DAP atau kaum Cina mengawal Kabinet ini?” bidasnya.
Sehubungan itu, Faiz menyeru rakyat untuk berdiri teguh menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyantuni semua rakyat termasuk orang Melayu dan menolak sebarang bentuk politik perkauman.
“Malaysia memerlukan kepimpinan yang menyatukan, membina dan berpandangan jauh, dan bukan pemimpin yang terus terperangkap dalam politik kebencian dan perkauman,” tambah Faiz lagi.
No comments:
Post a Comment