Jangan ulangi politik kompromi, keberanian kerajaan diuji pada penguatkuasaan


 

Kepimpinan Kerajaan MADANI diingatkan supaya tidak mengulangi budaya politik kompromi yang melemahkan kedaulatan undang-undang, sebaliknya membuktikan keberanian melalui tindakan penguatkuasaan tegas, bukan sekadar retorik ucapan.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau menyambut baik kenyataan Perdana Menteri bahawa mulai tahun 2026 kerajaan akan lebih berani menangani isu bahasa, kaum dan sentimen perkauman yang sering dieksploitasi untuk kepentingan politik sempit.

Namun, beliau menegaskan kenyataan itu mesti disertai peringatan keras agar keberanian tidak terhenti pada pentas pidato.

Ketahui lebih lanjut
Buku sejarah Malaysia
Peralatan rakaman video
VIDEO
Perisian analisis data berita
Berita perniagaan
Berita antarabangsa
Akses arkib berita digital
Iklan berita
Video
Analisis politik UMNO

“Rakyat tidak lagi boleh menerima keberanian yang hanya terhenti pada ucapan, tetapi gagal diterjemahkan dalam penguatkuasaan undang-undang,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Amat sensitif

Mahfuz turut merujuk kes melibatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sebelum ini berhubung kenyataan menghina institusi Raja termasuk Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong, sebagai contoh buruk yang tidak wajar berulang.

Beliau menegaskan bahawa kes itu perlu dilihat sebagai isu 3R yang amat sensitif, apatah lagi melibatkan penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu oleh orang Melayu sendiri.

Rentetan proses daripada kenyataan terbuka, pendakwaan di mahkamah, representasi kepada Peguam Negara hingga akhirnya pendakwaan tidak diteruskan, katanya, telah menghantar mesej berbahaya kepada rakyat.

“Ia seolah-olah menunjukkan kuasa politik dan jawatan boleh menjadi perisai daripada tindakan undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, Mahfuz menggesa kerajaan supaya membezakan dengan jelas antara kemaafan peribadi dan tanggungjawab jenayah terhadap negara.

Kemaafan mana-mana pihak, termasuk institusi Raja, katanya, tidak seharusnya secara automatik menggugurkan proses keadilan.


“Jika prinsip ini tidak dijaga, undang-undang akan dilihat tajam ke bawah, tumpul ke atas,” tegasnya.

Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mengingatkan Kerajaan MADANI agar tidak berlindung di sebalik alasan kestabilan politik atau keharmonian untuk menarik balik atau melemahkan pendakwaan kes berprofil tinggi yang menyentuh asas kedaulatan negara dan Perlembagaan.

“Tahun 2026 akan menjadi tahun ujian, bukan tahun slogan,” tegasnya sambil menekankan bahawa rakyat akan menilai sama ada penguatkuasaan dilaksanakan tanpa memilih bulu dan pendakwaan diteruskan walaupun melibatkan tokoh berpengaruh.





No comments: