PAS BUKAN KAWAN YANG BAIK, NEGERI KECIL PUN BERKECAMUK, APATAH LAGI MENTADBIR MALAYSIA
1. PAS adalah bom jangka dalam mana-mana hubungan politik. Sejak 1973 hingga 2025, PAS telah menyertai sekurang-kurangnya 7 pakatan utama, tetapi hampir kesemua hubungan ini tidak bertahan lama dan sering berakhir dengan konflik, perpecahan dasar atau pembubaran.
2. Gabungan ketika ini iaitu Perikatan Nasional (PN) juga sudah semakin nazak. Umum mengetahui PAS menjadi punca perpecahan dan kali ini giliran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula menjadi mangsa. Semuanya adalah untuk menghalalkan keghairahan PAS menjadi bos besar PN atau mana-mana pakatan politik.
3. Selagi PAS berada dalam sesuatu pakatan, risiko perpecahan, ketidakstabilan dasar dan krisis kepercayaan sentiasa menghantui. Ini bukan soal persepsi, tetapi fakta yang berulang kali berlaku. PAS ibarat ‘kambing apabila didekati, pasti ada yang lari kerana baunya’.
4. Tiada parti tunggal yang boleh mentadbir negara berdasarkan rekod 15 pilihanraya umum, maka peluang PAS untuk mentadbir negara sangat berisiko kerana ketidakstabilan yang boleh wujud apabila mentadbir kelak. Terbukti berlaku ketika mana Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri sebelum ini, di mana ketika itu, UMNO yang dikhianati PAS kerana PAS memilih Bersatu (PN) dan bukannya UMNO (Muafakat Nasional).
5. PAS juga gagal memerintah dengan bersih seperti yang dituntut oleh Islam. Ini diakui oleh presiden PAS sendiri. Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata bahawa krisis politik Perlis timbul apabila banyak projek besar tidak mengikut peraturan dan terlibat dengan rasuah. Seharusnya, Presiden PAS yang mengetahui tentang jenayah rasuah tersebut membuat laporan kepada SPRM, yang mana gagal boleh menjadi suatu kesalahan di bawah seksyen 25 Akta SPRM 2009.
6. Pengurusan yang cacamerba dan berkecamuk, di samping prestasi ekonomi yang buruk di negeri-negeri SG4, membuktikan PAS-PN tidak berkemampuan mengemudi tampuk pemerintahan negara. Ini adalah kerana, data Jabatan Perangkaan membuktikan negeri-negeri SG4, terutamanya Kelantan dan Perlis, menduduki tangga tercorot dalam ranking upah median sektor formal. Dari segi kemiskinan mutlak pula, Kelantan dan Kedah berada pada kedudukan paling bawah di Semenanjung Malaysia.
7. Negeri-negeri bawah pimpinan PAS-PN juga terkebelakang dalam menarik pelaburan domestik dan antarabangsa. Di Kedah, pelaburan tertumpu di lokasi seperti Kulim Hi-Tech Park dan Kedah Rubber City yang mana agensi-agensi persekutuan memainkan peranan utama dalam membawa masuk pelaburan. Oleh itu, dari sudut prestasi pentadbiran dan pengurusan ekonomi, ternyata PAS gagal. PAS terus membuktikan mereka tidak mampu memberikan suatu pemerintahan yang stabil, berkualiti dan berdaya maju, serta pro masyarakat Malaysia.
8. Masalah PAS berakar pada kepimpinan dimana kesetiaan dan kualiti kepimpinan diganti dengan kepentingan diri. Bagaimana nak diharapkan membela Melayu, apabila jawatan MB pun direbutkan, sepertimana jawatan Perdana Menteri sebelum ini. Ternyata, yang diperjuangkan PAS bukanlah orang Melayu, tetapi istilah Melayu dan Islam dipergunakan untuk kepentingan politik PAS.
FAIZ FADZIL
27 Disember 2025

No comments:
Post a Comment