Abang Johari Bangunkan Sarawak, Anwar Akui: Inilah Masa Depan Malaysia

Great Honbill






KUALA LUMPUR: Apa yang diperjuangkan Sarawak sejak sekian lama akhirnya diiktiraf di peringkat tertinggi negara. Di bawah kepimpinan tegas dan berani Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Sarawak hari ini bukan lagi sekadar negeri penyumbang, tetapi penentu masa depan Malaysia.


Pengakuan itu datang sendiri daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa Sarawak adalah masa depan negara, susulan kejayaan luar biasa kerajaan negeri membangunkan sektor tenaga, industri berat dan ekonomi hijau demi kesejahteraan rakyat.


Ini bukan kebetulan. Ini hasil perjuangan.


Menurut Anwar, Kerajaan Persekutuan kini berdiri bersama Sarawak bagi merealisasikan agenda besar yang telah lama diperjuangkan oleh Abang Johari dengan agenda yang berpaksikan hak Sarawak, maruah negeri dan keadilan untuk rakyat.


Lawatan Perdana Menteri ke Kuching, Miri dan Bintulu baru-baru ini menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) global, bukti nyata bahawa dunia kini memandang Sarawak sebagai kuasa baharu tenaga dan industri masa depan.


Lebih penting, Anwar turut mengiktiraf peranan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), syarikat milik Sarawak yang lahir daripada keberanian politik kerajaan negeri mempertahankan hak minyak dan gas sendiri. PETROS kini berdiri megah sebagai pemain utama industri tenaga, bukan lagi sekadar pemerhati di tanah sendiri.


“Peranan PETROS akan terus diperkukuh,” tegas Anwar, sambil menekankan kerjasama strategik bersama PETRONAS, satu pengiktirafan jelas bahawa Sarawak kini setara, bukan lagi dipinggirkan.


Bagi rakyat marhaen, ini bermakna hasil bumi Sarawak tidak lagi mengalir keluar tanpa pulangan adil. Anwar mengakui perolehan Sarawak semakin meningkat hasil perkongsian yang lebih telus dan saksama, selari dengan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diperjuangkan tanpa henti oleh Abang Johari.


“Komitmen terhadap MA63 adalah komitmen kepada keadilan,” kata Perdana Menteri, satu pengesahan bahawa suara Sarawak kini didengar, bukan lagi dipandang sepi.


Di bawah kepimpinan Abang Johari, Sarawak juga sedang melakar sejarah sebagai peneraju hidrogen hijau Asia, membuka ribuan peluang pekerjaan, menarik pelaburan dari Jepun, Korea Selatan dan Eropah, serta menjadikan negeri ini benteng ekonomi masa depan anak Sarawak.


Ini bukan projek elit. Ini masa depan anak kampung, pekerja biasa, nelayan, petani dan generasi muda Sarawak.


“Transformasi sebenar untuk rakyat Sarawak sedang berjalan,” kata Anwar.


Hari ini, Sarawak berdiri lebih teguh. Suara Sarawak lebih lantang. Hak Sarawak semakin dipulangkan.


Di barisan hadapan perjuangan ini berdiri seorang pemimpin yang tidak tunduk, tidak berganjak dan tidak berkompromi apabila menyentuh kepentingan rakyatnya , Premier Sarawak, Abang Johari.



No comments: