BERI KATA DUA ENAM BULAN ADALAH CERMIN KEGAGALAN, DAP PATUT KELUAR KERAJAAN




10 December 2025


DAP dilaporkan memberi tempoh enam bulan kepada Perdana Menteri untuk menyegerakan reformasi yang selama ini dijanjikan.


Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, jika Anwar Ibrahim gagal melaksanakan tuntutan itu dalam tempoh tersebut, DAP akan menilai semula peranan parti itu dalam kerajaan.


Bagaimanapun, katanya, ia tidak bermakna DAP akan menarik sokongan dan menjatuhkan kerajaan.


Walaupun Loke tidak menyatakan secara khusus, penilaian semula itu mungkin termasuk DAP keluar dari kabinet dan menjadi penyokong kerajaan sahaja.


Tindakan DAP ini yang dianggap suatu tekanan kepada Anwar tentunya tidak lain adalah kesan daripada keputusan PRN Sabah yang menyaksikan parti itu kalah semua lapan kerusi yang ditandinginya.


Kekalahan itu menunjukkan pengundi Cina dan golongan peniaga tidak lagi menyokong DAP.


Faktor terbesar keadaan itu ialah kedudukan ekonomi yang tidak memberahikan sejak PH menerajui kerajaan, selain beberapa keputusan kerajaan seperti perluasan skop cukai SST dan pengenalan e-invois yang tidak menggembirakan golongan peniaga.


Tuntutan DAP agar Anwar melakukan reformasi yang lebih bermakna dalam tempoh enam bulan akan datang pastinya bertujuan untuk mengelakkan parti itu terus ditolak dan kalah teruk pada PRU16 akan datang.


Sebenarnya, tiada guna sama sekali untuk DAP memberi kata dua atau menetapkan tempoh itu kepada Anwar kerana jika dalam masa tiga tahun menjadi kerajaan sebelum ini pun reformasi gagal dilaksanakan, mana mungkin sesuatu yang drastik dapat dilakukan dalam tempoh enam bulan akan datang?


Bahkan, dengan memberi tempoh masa itu, ia dengan sendirinya mencerminkan kegagalan DAP sendiri.


Mengapa dalam tempoh tiga tahun sebelum ini Anthony Loke tidak bersuara keras seperti ini?


Kenapa hanya setelah kalah di Sabah, baru hendak lantang memberi kata dua dan ancaman?


Percayalah, jika DAP merasakan reformasi gagal dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun yang telah berlalu, ia tidak mungkin menjanjikan kejayaan dalam tempoh enam bulan akan datang.


Sebab itu, pilihan DAP untuk keluar daripada kabinet dan hanya menjadi penyokong kerajaan saja jika selepas tempoh enam bulan akan datang, reformasi bermakna masih gagal dilaksanakan, ia tetap merupakan tindakan yang yang sia-sia.


Bahkan, ia juga tidak mampu untuk memulihkan kepercayaan pengundi Cina dan golongan peniaga kepada DAP.


Hakikatnya, pengundi Cina dan golongan peniaga rata-ratanya sudah tidak percaya lagi pada kerajaan yang ada ini.


Selagi DAP bersama mereka, walaupun tidak memegang jawatan dalam kabinet, sokongan yang telah lari tidak mungkin datang kembali. 


Satu-satunya pilihan untuk DAP meraih kembali kepercayaan pengundi dan menghidupkan harapan untuk menang banyak kerusi hanyalah dengan keluar daripada kerajaan dan memisahkan dirinya daripada kuasa.


Ada berani – masih sayang jawatan menteri atau kerusi?. – ShahbudinHusin 10Disember2025.


https://shahbudindotcom.net/2025/12/beri-kata-dua-enam-bulan-kepada-pm-cermin-kegagalan-dap/




No comments: