Pemuda AMANAH Nasional menyelar sikap Perikatan Nasional (PN) yang telah memutar belit kenyataan Perdana Menteri dalam temu bual bersama CNN baru-baru ini apabila mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf “hak Israel untuk mempertahankan diri”.
Naib Ketuanya, Ammar Atan berkata, tuduhan pembangkang itu adalah palsu dan berniat untuk mengelirukan rakyat.
Menurutnya, kerajaan Malaysia, di bawah kepimpinan Perdana Menteri terus kekal komited dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin di pentas antarabangsa.
Ammar berkata, Perdana Menteri dengan jelas menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf Israel, menolak penjajahan, dan menuntut dunia bertindak menghentikan kezaliman terhadap rakyat Palestin.
“Ambil sekerat-sekerat ucapan tanpa dengar keseluruhan, itulah kerja mereka, tetapi dunia tahu siapa yang benar-benar bertindak untuk Palestin.
“Anwar Ibrahim dengan jelas menolak penjajahan Israel, menyeru tindakan tegas komuniti antarabangsa, dan terus memperjuangkan hak rakyat Palestin di setiap platform global.
“Adalah ironis apabila pembangkang kini cuba menonjolkan diri sebagai “terpaling Palestin,” sedangkan ketika mereka berkuasa, tiada langkah konkrit diambil untuk membantu rakyat Palestin,” kata Ammar menerusi kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa manipulasi isu kekejaman rejim Israel hanya menunjukkan hipokrasi pihak yang menggunakan Palestin sebagai alat politik.
“Kerajaan hari ini bukan sekadar bercakap tetapi mengambil tindakan nyata dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin,” ujarnya.
Sehubungan itu, Ammar berkata, Pemuda AMANAH Nasional menyeru semua pihak, termasuk pembangkang, untuk menghentikan eksploitasi isu Palestin demi kepentingan politik sempit dan bersama menyokong usaha ke arah keadilan dan keamanan sejagat.
“Malaysia tetap berdiri teguh bersama rakyat Palestin. Keamanan hanya akan tercapai apabila keadilan ditegakkan,” tambahnya lagi.
Keganasan Israel di Gaza yang berterusan dan sudah melebihi setahun mengorbankan sekurang-kurangnya 43,736 rakyat Palestin.
Seramai 103,370 orang pula cedera sejak 7 Oktober 2023, menurut pegawai kesihatan Gaza manakala ribuan lagi hilang dipercayai terkorban di bawah runtuhan bangunan.