GOLONGAN KHAWARIJ BERSEKONGKOL DENGAN SYAITAN


Abdullah Jalil. 




 Golongan Khawārij Yang Merupakan Tanduk (Kekuatan) Syaitan akan Muncul Berkali-kali dari Arah Timur Madīnah al-Munawwarah sehingga Datangnya Si Dajjāl Bersama Mereka


<<<<< >>>>>


عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرِو رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: 


(( سَيَخْرُجُ أُنَاسٌ مِنْ أُمَّتِي مِنْ قِبَلِ الْمـَشْرِقِ، يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لَا يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ، كُلَّمَا خَرَجَ مِنْهُمْ قَرْنٌ قُطِعَ، كُلَّمَا خَرَجَ مِنْهُمْ قَرْنٌ قُطِعَ، حَتَّى عَدَّهَا زِيَادَةً عَلَى عَشْرَةِ مَرَّاتٍ كُلَّمَا خَرَجَ مِنْهُمْ قَرْنٌ قُطِعَ، حَتَّى يَخْرُجَ الدَّجَّالُ فِي بَقِيَّتِهِمْ ))


Daripada ʿAbdullāh Ibnu ʿAmr رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا, beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda:


“Akan keluar beberapa kelompok manusia daripada umatku dari arah Timur [Madinah], mereka membaca Al-Quran tetapi ia tidak melebihi kerongkong mereka (iaitu mereka tidak memahami Al-Quran dan nur Al-Quran tidak sampai ke hati mereka). 


Setiap kali keluar satu tanduk [fitnah] daripada kalangan mereka, ia [akan] dipotong.


Setiap kali keluar satu tanduk [fitnah] daripada kalangan mereka, ia [akan] dipotong.


Sehinggalah beliau mengiranya lebih daripada sepuluh kali, [Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda:]


Setiap kali keluar satu tanduk [fitnah] daripada kalangan mereka, ia [akan] dipotong. 


... [Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ berulang-ulang kali menyebutnya bagi memberi isyarat kepada fitnah yang berulang-ulang kali akan muncul dari Timur Madinah]...


... sehinggalah keluarnya si Dajjāl pada sisa baki mereka.”


T: (Aḥmad (241H): al-Musnad), No. 27767 [Lafaz di atas] & 27864; (al-Ḥākim (405H): al-Mustadrak ʿalā al-Saḥīḥayn), No. 8590 & 8657 dan beliau berkata: (هَذَا حَدِيثٌ صَحِيحٌ عَلَى شَرْطِ الشَّيْخَيْنِ، وَلَمْ يُخْرِجَاهُ، فَقَدِ اتَّفَقَا جَمِيعًا عَلَى أَحَادِيثِ مُوسَى بْنِ عَلِيِّ بْنِ رَبَاحٍ اللَّخْمِيِّ، وَلَمْ يُخْرِجَاهُ); (Abū Dāwūd al-Ṭayālisī (204H): Musnad Abī Dāwūd al-Ṭayālisī), No. 2407; (Abū Nuʿaym al-Asbahānī (430H): Ḥilyat al-Awliyāʾ wa Ṭabaqāt al-Aṣfiyāʾ), No. 7883; (Ibn ʿAsākir (571H): Tārīkh Dimashq), No. 311, 313 & 315 dan lain-lain. [Status: Ḥasan atau Ṣaḥīḥ li ghayrih]


Nota:


[1] Hadis ini merujuk kepada golongan Khawārij kerana Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ menyifatkan mereka sebagai golongan yang membaca Al-Quran tetapi tidak memahaminya.


[2] Hadis ini juga menjadi dalil bahawa fitnah golongan Khawārij akan sentiasa berulang-ulang sehingga ke zaman Dajjāl dan mereka akan menjadi pengikutnya kelak di akhir zaman.


[3] Tiga (3) ciri-ciri utama golongan Khawārij ialah: 


[i] mentashbihkan Allah (menyerupakan Allah dengan makhluk).


[ii] merendahkan Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.


[iii] mengkafirkan para muslimin.


Dengan ketiga-tiga ciri di atas, maka tidaklah menjadi satu kehairanan bahawa mereka akan menjadi pengikut Dajjāl apabila ia muncul kelak.


PENUNTUT ILMU - Hadis-hadis Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ Berkenaan Golongan Khawārij