BERITA BAIK – PRK ENAM KAWASAN PARLIMEN SEMAKIN SUKAR DIELAKKAN

 

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menolak permohonan bekas Adun Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim untuk mendapatkan injunksi sementara bagi menghalang diadakan pilihan raya kecil atau PRK bagi kerusi DUN itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain berkata, mahkamah tidak boleh menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada mengadakan PRK kerana badan itu menjalankan tugas berperlembagaannya.

Dengan keputusan mahkamah itu, SPR tidak terhalang lagi daripada mengadakan mesyuarat hari ini (28 Jun) bagi menentukan tarikh PRK DUN Nenggiri.

Perkembangan ini adalah suatu berita baik bagi semua pencinta kebenaran dan mereka yang membenci pengkhianatan, tidak kira daripada sebelah mana sekali pun.

Sebagaimana peruntukan Akta Lompat Parti dan bersekali dengan pindaan perlembagaan Bersatu, Mohd Azizi kini tergugur kedudukannya sebagai wakil rakyat dan pengundi akan mengundi semula bagi memilih Adun baru Nenggiri.

Dengan keputusan mahkamah itu, ia sekaligus mengesahkan Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah telah membuat keputusan yang betul apabila mengisytiharkan kekosongan kerusi Nenggiri.

Bersama perkembangan ini, Speaker Parlimen, Johari Abdul semakin tiada pilihan lain selain daripada turut mengisytiharkan kekosongan di enam kerusi Parlimen yang wakil rakyatnya turut dimuktamadkan terhenti keahlian daripada Bersatu.

Kemungkinan selepas ini menyusul enam PRK di kawasan Parlimen semakin sukar untuk dielakkan.

Jika Johari membuat keputusan yang berbeza dengan Speaker Kelantan, ia dengan sendirinya akan terlihat pelik sehingga bukan saja manusia yang ada akal akan rasa kebingungan, malah semut di tepi longkang yang tidak berakal pun akan turut pening, lalu terjatuh ke dalam air dan akhirnya mati keras begitu saja.

Hanya pentaksub melulu yang tidak setuju PRK diadakan, walhal mereka sebelum ini begitu lantang mengecam pengkhianatan yang dilakukan Geng Azmin Ali terhadap Anwar Ibrahim.

Hakikatnya, berikutan tergubalnya Akta Lompat Parti, hanya dengan kerusi diisytiharkan kosong sajalah pilihan yang ada sebagai hukuman kepada wakil-wakil rakyat yang mengkhianati parti sendiri.

Tanpa parti yang membenarkan mereka bertanding, mereka atas nama peribadi bukan saja tidak mungkin menang, malah untuk dapat 1000 undi pun tentunya sukar.

Jadi kini, hak itu wajar dikembalikan kepada parti semula.

Ini bukan saja tertuju kepada Bersatu, tetapi andainya ada wakil rakyat PH atau UMNO pun yang menarik sokongan daripada kerajaan madani selepas ini, itulah juga hukumannya.

Barulah bersih politik negara kita ini. – ShahbudinHusin 28Jun2024.


No comments: