Kewarganegaraan: Saifuddin yakin Ahli Parlimen akan sokong pindaan Perlembagaan



Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya sedang mengadakan siri penjelasan kepada Ahli Parlimen (MP) berkaitan cadangan kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung peruntukan hak kewarganegaraan kanak-kanak.



Beliau berkata melalui penjelasan tersebut, pihaknya yakin Ahli ahli Parlimen akan memberikan sokongan terhadap pindaan tersebut.



"Saya yakin jika saya terus berpeluang beri penjelasan seperti ini, pindaan ini boleh mendapat sokongan yang diperlukan (di Parlimen)," katanya selepas merasmikan Dialog Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2024 di Maktab PDRM, Kuala Lumpur hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim daripada KEADILAN pada Ahad lepas menyuarakan ikrar untuk membantah cadangan pindaan itu dan mendakwa tiada sebab untuk meminda peruntukan yang telah berkuat kuasa selama ini.



Bantahan itu berhubung cadangan pindaan Jadual Kedua, Bahagian III, Seksyen 19(b) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kewarganegaraan kepada kanak-kanak terbuang menerusi penguatkuasaan undang-undang.



Saifuddin juga memberikan jaminan akan menyelesaikan baki 14,000 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15a Perlembagaan Persekutuan secara undang-undang bagi anak luar nikah, anak angkat atau anak terbiar yang melebihi umur bayi sebelum 31 Disember ini.



Beliau menjelaskan, terdapat 59,000 permohonan di bawah kategori itu sejak 2013 sehingga kini dengan 35,000 daripadanya telah diproses dengan 98 peratus berjaya mendapat kewarganegaraan.



Tambahnya, terdapat 142 permohonan kewarganegaraan bagi bayi terdampar yang diluluskan sejak 2014 sehingga tahun lepas yang diperoleh dengan menyediakan laporan polis, hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

 

 

No comments: