Kerajaan komited kurangkan pekerja asing, banteras imigran berniaga



Jumlah pekerja asing tidak berkemahiran di Malaysia yang mencecah 3 - 3.5 juta orang menyebabkan bukan sahaja peluang pekerjaan kepada rakyat terbatas tetapi juga para imigran tersebut terlibat dalam perniagaan.



Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (PH-Pandan) kerajaan akan segera melancarkan pelan untuk mengurangkan kebergantungan ekonomi kepada pekerja asing bagi mengelakkan para pekerja asing tersebut terus menjadi peniaga di negara ini.



"Pandangan saya kita perlu komited untuk mengurangkan jumlah pekerja asing tidak berkemahiran dalam negara kita. Ini bukan sahaja dasar tetapi perlu kerjasama industri.



"Ini penting kerana setiap kali pentadbiran lalu cuba mengurangkan pekerja asing di negara kita, dia akan dapat bantahan.



"Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada April ini akan memikirkan mekanisme khusus mengurangkan jumlah pekerja asing secara berkala dan Rancangan Malaysia Ke 13 akan dibentangkan pada tahun depan bakal meletakkan sasaran mengurangkan pekerja asing secara drastik



"Kalau kita terus ada 3 juta imigran, baik ada dokumentasi atau tidak, ini mewujudkan satu kumpulan yang menawarkan struktur kos lebih rendah dan peniaga tempatan tak dapat bersaing dan akan terus ada orang ramai yang lebih gemar untuk mendapat khidmat atau produk (murah) daripada mereka," katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) dalam sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pagi tadi.



Tambah Rafizi, kerajaan pada waktu akan datang bakal membentangkan akta rent seeking atau Akta Anti Ali Baba bagi membanteras penglibatan warga asing dalam perniagaan.



"Sebahagiannya sebab kita ada fenomena penduduk tempatan menyewakan lesen. Selagi perkara ini tidak diselesaikan kita tidak ada undang undang khusus kepada penduduk tempatan yang menyebabkan fenomena ini semakin bertambah.



"Kita perlu mengetatkan undang undang supaya menjadi kesalahan membolehkan pekerja asing mengusahakan perniagaan atas nama orang tempatan," katanya lagi.