ULASAN | MALAYSIA: SEBUAH NEGARA PROGRESIF DI PERINGKAT ANTARABANGSA





“Stop these atrocities. Stop the killings of women and children. Now! (Hentikan kekejaman ini. Hentikan pembunuhan terhadap wanita dan kanak-kanak. Sekarang!)” 


Petikan daripada ucapan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) di San Francisco.


Pada 11 November 2023, YAB Perdana Menteri bersama delegasi Malaysia telah menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Kelapan bertempat di Riyadh, Arab Saudi dan seterusnya berlepas ke San Francisco, Amerika Syarikat bagi terlibat sama dalam Sidang APEC untuk menyatakan pendirian dan sikap Malaysia di peringkat antarabangsa, kedudukan geopolitik dan kerjasama dengan negara luar dalam aspek ekonomi. 


Saya menyaksikan sendiri bagaimana YAB Perdana Menteri secara tegas dan jelas mewakili Malaysia melonjak isu penderitaan nasib warga Palestin serta krisis kemanusiaan yang menimpanya saat ini. 


Dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif, YAB Perdana Menteri tidak mengambil jalan pintas untuk memboikot pertemuan dengan warga antarabangsa, sebaliknya mengeksploit dan menggunakan ruang antarabangsa sebaiknya dalam menyatakan pendirian Malaysia secara terbuka biarpun di hadapan Presiden Amerika Syarikat, Joseph Biden sendiri.


Dalam pada masa yang sama, kesempatan untuk bertemu dengan pemimpin negara-negara luar digunakan semaksima mungkin bagi mempertingkat kerjasama strategik dalam hubungan ekonomi, kesihatan, pendidikan serta teknologi agar dapat memberi manfaat kepada negara dan rakyat Malaysia. 


Hal ini terbukti apabila YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa misi perdagangan dan pelaburan ke AS secara kumulatifnya berjaya dijana hasil komitmen pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM63.02 bilion serta mencapai nilai potensi eksport sebanyak RM2.78 bilion dari Malaysia. 


Antara kejayaan delegasi Malaysia yang diketuai YAB Perdana Menteri serta pasukan dari MITI dan KKD yang direkodkan adalah;


• Pertemuan yang diadakan bersama gergasi teknologi seperti Google, Microsoft, Tik Tok dan TPG hakikatnya telah berjaya membawa komitmen sehingga RM54.72 bilion bagi tempoh 10 hingga 15 tahun. 


• Hasil komitmen FDI berjaya diraih sebanyak RM8.3 bilion daripada Abbot Laboratories, Mondelez Internasional, Amsted Rail, Hematogenix, PerkinElmer, Ford Motor Company, Boeing, Amazon Web Services dan Lam Research. 


• Pelaburan ini akan merancakkan pembangunan sektor seperti aeroangkasa, bahan kimia, farmaseutikal, teknologi bateri EV, peralatan kesihatan, perkhidmatan awam dan logistik. 


• Nilai eksport dari Malaysia turut berjaya dicapai sebanyak RM2.78 bilion apabila syarikat-syarikat seperti Canadian Tire Corporation, Global Agri Trade Corporation dan Unigen Corporat telah sepakat untuk memberi komitmen ini bagi mempertingkatkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua entiti. 


• Pemeteraian perjanjian perisian dan perkhidmatan jangka panjang antara kerajaan Malaysia dengan Blackberry Ltd untuk mengukuhkan kedudukan keselamatan siber negara.


• Hasil kerjasama yang dimeterai ini akan membawa kepada penubuhan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CCoE) di Kuala Lumpur pada 2024 -yang menjadikan ini adalah CCoE yang pertama di rantau Asia Pasifik.


Lantaran itu, pendekatan yang progresif dan strategik adalah penting untuk memastikan kestabilan ekonomi negara terjaga di samping turut menjadikan Malaysia antara negara yang vokal dan di barisan hadapan dalam menyuarakan isu kemanusiaan di peringkat antarabangsa. 


Akhirul kalam, usaha yang dipergiatkan ini juga diharap membuahkan kejayaan yang gemilang kepada negara serta dapat memberi tekanan kepada kuasa besar dunia agar tidak terus membisu dalam isu ini.


AHMAD FARHAN FAUZI

Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri



No comments: