PENGALAMAN RAFIZI KETIKA BERKEMPEN BERSAMA ALAHYARHAMAH

 





Terima berita sedih Kak Natrah (mantan Ahli Parlimen Sekijang 2018-2022) telah pulang ke rahmatullah akibat kanser.


Saya ada persahabatan yang panjang dengan Cikgu Natrah.


Saya yang meyakinkan Cikgu Natrah yang PKR boleh menang di Sekijang dan minta beliau bertanding 2018. 


Saya juga yang mohon Kak Natrah memberi laluan kepada Dr Zaleha untuk bertanding di Sekijang dalam PRU2022.


Sekijang sebelum itu kubu kuat Umno dan sangat sukar ditembusi kerana banyak Felda di sekelilingnya.


Di awal kemunculan PKR di Sekijang, tidak ramai yang berani ke depan. Sangat sukar untuk kami mencari tempat untuk berceramah.


Kak Natrah adalah seorang pesara guru besar dan rumah beliau ada kawasan lapang yang besar.


Banyak ceramah awalnya di buat di kawasan rumah allahyarhamah dan saya selalu bergurau dengan Kak Natrah mengenai pengalaman awal berkempen di Sekijang.


Setiap kali ceramah, tidak ramai yang hadir. Jadi saya akan tanya Kak Natrah - mana orangnya tak nampak pun?


Kak Natrah dengan yakin akan jawab: “nuuu ada dalam gelap tapi sebab kawasan rumah saya kan besar, susah la nak nampak”.


Sangat sukar mencari seorang Ahli Parlimen yang langsung tidak membantah apabila saya memohon untuk beliau memberi laluan kepada calon baru. Ia juga antara perkara paling sukar yang saya terpaksa lakukan sebagai Timbalan Presiden dalam PRU15 lalu: memaklumkan kawan baik yang layan saya sebagai kakak bahawa beliau perlu memberi laluan kepada calon baru.


Saya ingat di malam keputusan PRU2018 semasa saya memaklumkan kepada Sdr Anwar Ibrahim kerusi-kerusi yang PKR menang.


Antara yang beliau paling terkejut ialah kerusi Sekijang. Reaksi Sdr Anwar “Kak Natrah pun menang?” itu saya akan ingat selama-lamanya.


Takziah kepada keluarga Kak Natrah.


Doa saya agar Kak Natrah diberikan kelapangan dan kesenangan di akhirat, seperti mana allahyarhamah melapangkan dan menyenangkan rakan-rakan sepanjang beliau hidup dengan senyuman dan kasih sayang seorang kakak kepada adik-adiknya.



No comments: