Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berhasrat untuk meneruskan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) meskipun dasar tersebut dirangka kerajaan terdahulu.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata sebarang kerangka yang baik akan diteruskan asalkan perancangan tersebut mempunyai strategi dan tindakan yang baik untuk negara.
"Sememang apa yang baik kita akan teruskan dan LCMB ialah dokumen yang mengariskan fokus dan strategi bagi merealisasikan mobiliti rendah karbon dalam pengangkutan darat sekali gus dapat mengurangkan pelepasan gas dan menjimatkan," katanya menerusi ucapan penggulungan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, LCMB pada ketika ini melengkapi Dasar Automotif Negara yang khusus membantu pengeluaran kereta tempatan berteras teknologi pintar.
"Selain itu, LCMB juga memberi fokus kepada empat bidang utama iaitu; penambahbaikan kecekapan bahan api dan pelepasan GHG kenderaan; penggunaan mobiliti elektrik; penggunaan bahan api alternatif serta mod peralihan.
"Oleh itu, pelaksanaan LCMB merentas sektor dan melibatkan pelbagai kementerian yang lain.
"Justeru, kita sememangnya komited untuk melaksanakan perkara ini selaras dengan perkembangan di peringkat antarabangsa," katanya.
Nik Nazmi berkata demikian bagi menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut-PN) mengenai mengenai status Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB) sama ada diteruskan atau sebaliknya.