UMNO PUN SELEPAS INI JANGANLAH DESAK LAGI PENGAMPUNAN NAJIB


Ribut kecil yang berlaku disebabkan UMNO tersinggung dengan kenyataan Khalid Samad berkenaan pengampunan Najib Razak akhirnya reda dan boleh dikata selesai setelah Timbalan Presidan Amanah, Salahuddin Ayub menunjukkan sikap budiman membuat permohonan maaf secara terbuka.


Salahuddin membuat permohonan maaf kepada UMNO itu dengan beliau sendiri menyampaikannya kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.


“Bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri ini, saya bagi pihak Amanah mohon maaf diatas kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Komunikasi parti, Khalid Samad baru-baru ini dan sekiranya kenyataan itu menyinggung atau pun melukakan UMNO, maka kami minta maaf dengannya,” katanya ketika hadir majlis Rumah Terbuka Zahid Hamidi di Putrajaya, semalam.


Sebelum itu, Khalid sendiri turut memohon maaf kepada UMNO jika kenyataannya yang merayu Agong menolak pengampunan Najib telah membuatkan parti itu tersinggung.


Cuma, tidak seperti Salahuddin yang berjumpa sendiri dengan Zahid Hamidi, Khalid hanya mengemukakan permohonan maafnya melalui media saja.


Bagaimanapun kata beliau, perkara itu cuma suatu perbezaan pendirian dan jika UMNO berasa tidak puas hati, tiada masalahnya baginya untuk memohon maaf.


Apa yang boleh dipelajari daripada isu ini?


Oleh kerana UMNO dan PH sebelum ini adalah bermusuhan, tetapi kini bersama-sama dalam membentuk kerajaan, kedua-dua pihak seharusnya lebih pandai menjaga hati serta perasaan masing-masing.


Ia bukan saja kepada Amanah atau mana-mana komponen dalam PH, bahkan juga kepada UMNO.


Reaksi yang ditunjukkan oleh Khalid Samad adalah semata-mata sebagai respon terhadap pendirian UMNO yang ternampak begitu tergesa-gesa mahu melihat Najib diampun dan dibebaskan, walaupun beliau belum setahun menjalani hukuman penjara 12 tahun yang diterimanya.


Reaksi Khalid Samad yang tidak mahu Najib dibebaskan, secara realitinya bukan saja dikongsi oleh majoriti penyokong dan pendokong PH, tetapi juga dikongsi oleh majoriti rakyat negara ini.


Rakyat secara umumnya tidak mahu Najib diampun dan dibebaskan dalam waktu terdekat ini.


Jika tidak percaya, cubalah mana-mana pemimpin UMNO berdiri di simpang-simpang jalan yang sibuk dan tanya mereka yang lalu-lalang di situ sama ada setuju atau tidak dengan pembebasan Najib.


Dalam hal ini, jika UMNO benar-benar memahami pendirian tersembunyi PH dan sentimen yang ada dalam hati sanubari majoriti rakyat berkenaan Najib, mereka sepatutnya daripada awal lagi tidak begitu tergesa-gesa menuntut pengampunan Najib.


Biarkan dulu Najib berada di dalam penjara bagi suatu tempoh tertentu atau secara konvensyennya, selelah menjalani satu pertiga hukuman penjara, barulah usaha untuk pengampunan itu hendak dilakukan.


Lagi pun, UMNO kena hormat jugalah sikit dengan keputusan hakim-hakim mahkamah yang arif lagi bijaksana dengan majoriti 13-1 itu terhadap kes itu.


Janganlah mentang-mentang dapat berada dalam kerajaan, desakan dan tuntutan mahu dilakukan.


Pokoknya, jika tiada tuntutan tergesa-gesa daripada UMNO, respon daripada Khalid Samad juga pasti tidak muncul.


Kalau UMNO memikirkan soal kestabilan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim dengan tanggapan kononnya kenyataan Khalid Samad itu boleh menggugat kestabilannya, Pengarah Komunikasi Amanah itu juga sebenarnya bertindak untuk menjaga kestabilan kerajaan.


Menampakkkan seolah-olah kerajaan mendorong atau membantu pengampunan Najib, tidak hanya mengancam kestabilan Anwar dalam memimpin kerajaan, malah seperti membekalkan peluru percuma kepada blok pembangkang PN dalam fasa-fasa perjuangan seterusnya.


Haruslah difahami situasi Najib tidak sama dengan Anwar yang memang agenda untuk membebaskannya dijadikan antara teras manifesto pada PRU14 lalu.


Disebabkan pengundi atau rakyat mahu melihat Anwar dibebaskan dan menjadi Perdana Menteri selepas Tun Mahathir Mohamad, itulah sebabnya maka PH diberi kejayaan dan BN ditumbangkan pada pada PRU 2018 lalu.


Tetapi, UMNO dan BN pada PRU15 baru-baru ini bukan saja tidak menang, malah merosot jauh jumlah kerusi yang dimenanginya.


Ini bermakna, agenda membebaskan Najib tidak ada dalam hati sanubari pengundi dan rakyat pada PRU15 baru-baru ini.


Memahami semua ini dan belajar daripada ribut kecil yang baru saja berlalu, UMNO selepas ini tidak sepatutnya lagi bercakap mengenai pengampunan dan pembebasan Najib.


Selagi UMNO berada bersama PH yang mereka sendiri tahu dan faham pendirian gabungan itu berhubung kedudukan Najib, eloklah mereka duduk diam-diam dan memberi fokus sepenuhnya kepada pengukuhan kerajaan dan bersama-sama menjaga rakyat bagi mendepani enam PRN dan PRU tahun 2027 akan datang.


Agenda membebaskan Najib hanya sesuai dijelmakan semula selepas PRU16 nanti dan sebelum tempoh itu, kunci mulut masing-masing buat sementara waktu dan demi menjaga perasaan rakan-rakan dalam kerajaan.


Jika UMNO tahu mengunci mulutnya, Khalid Samad pun tentu lebih tahu mendiamkan dirinya. – ShahbudinHusin 01/05/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: