'Negara Islam berdamai, parti Islam Malaysia cuba jatuhkan PM'




Negara negara Islam dunia yang bersengketa sejak puluhan tahun lalu seperti Arab Saudi dan Iran telah pun bersetuju untuk berdamai dalam kerangka memperkukuh Islam.


Bagaimanapun, menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Bahrin Shah keadaan begitu berbeza di Malaysia apabila parti Pas yang mendakwa memperjuangkan Islam cuba menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim pejuang Islam diiktiraf dunia.


"Kerajaan Arab Saudi dan Iran baru baru ini telah berjumpa untuk menjalin semula hubungan diplomatik di bawah initiatif kerajaan China.


"Rombongan Arab Saudi juga telah tiba di Yaman untuk memulakan rundingan damai di bawah usaha bersejarah Oman selepas hampir lapan tahun berperang.


"Di Lubnan, Hizbollah yang ada perbezaan pandangan dengan Hamas mula mengadakan mesyuarat perundingan kerjasama.


"Sementara negara negara Islam lain sedang mengukuhkan kerajaan mereka dan memperkuatkan perpaduan umat Islam, parti yang mengakui diri sebuah parti Islam di Malaysia sebaliknya mahu menjatuhkan Perdana Menteri Islam yang dipilih oleh rakyat," katanya dalam satu kenyataan.


Selain itu, Raja Bahrin turut mempersoalkan propaganda Pas yang dianggapnya ketinggalan zaman berdasarkan tantanan baharu dunia apabila masih melabelkan komunis dan negara komunis sebagai musuh utama Islam.


Sedangkan katanya, di peringkat dunia kebanyakan negara negara Islam mempunyai hubungan haik dengan China dan bekas pengasas ajaran komunis, Rusia.


"Perlu diingat ada pihak yang melabelkan komunis dan bangsa Cina merupakan musuh utama umat Islam di Malaysia.


"Ironinya tuduhan ini. Sedangkan inisiatif negara China komunislah yang telah berjaya mendamaikan dua negara Islam Arab Saudi dan Iran di mana negara Islam lain gagal melakukannya.


"Peristiwa global dunia Islam semasa memerlukan penilaian semula, siapakah sebenarnya menjadi musuh sebenar kepada umat dan negara Islam semasa.


"Pandangan lama bahawa komunis adalah musuh tradisi Islam perlu penilaian dalam konteks antarabangsa hari ini. Hari ini negara komunis seperti China dan Russia mempunyai hubungan baik dengan negara Islam," katanya.


Bagi Raja Bahrin, dengan serba keterbatasan minda pemimpin Pas menelaah politik dunia maka sudah tiba masanya Pas mengubah strategi politiknya daripada berterusan menggunakan fitnah menjatuhkan Kerajaan Perpaduan, kepada pembangkang yang baik dan menghulur tangan persahabatan kepada pemimpin yang lebih unggul, Datuk Seri Anwar.


"Malaysia pernah menerajui OIC dan Anwar Ibrahim mempunyai ketokohan untuk membawa Malaysia ke tahap kegemilangan dahulu di kalangan negara Islam hari ini.


"Malangnya ada pihak yang ingin mengagalkan peluang Malaysia mencapai tahap kecemerlangan tersebut.


"Adalah lebih baik Pas sebagai sebuah parti yang mengelar diri parti Islam berdamai dan memperkukuhkan kerajaan Malaysia serta tidak cuba mengugat kestabilan dengan usaha berterusan mahu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang direstui oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam Malaysia.


"Ikutlah contoh global negara Islam lain yang giat berusaha mencari perdamaian dan bukan persengketaan demi penyatuan umat Islam sedunia," katanya lagi.


Justeru, Raja Bahrin berharap dengan semangat Nuzul al Quran dan semangat Ramadan kali ini umat Islam Malaysia boleh berdamai dan melupakan persengketaan panjang politik yang amat merugikan.


No comments: