BANYAK JUGA KAHWIN PAKSA YANG MAMPU BERTAHAN LAMA


Bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumpamakan hubungan UMNO dan DAP dalam kerajaan sekarang seperti kahwin paksa.


Katanya, perkahwinan secara paksa itu sukar untuk bertahan lama.


Menurut beliau, keretakan dalam gabungan itu sudah boleh dilihat apabila sekurang-kurangnya dua pemimpin kanan UMNO Johor menegur beberapa pemimpin DAP dan PKR kerana melontarkan komen yang disifatkan sebagai menghina parti Melayu itu.


“Setakat ini, itu baru permulaan. Kita tengoklah. Saya tak mahu komen lebih. Tapi dah ada dah, DAP komen tentang UMNO dan UMNO komen tentang DAP.


“Itulah saya kata, kahwin paksa tak boleh. Kahwin mesti suka sama suka.


“Suka sama suka bukan setakat di peringkat kepimpinan tetapi di akar umbi juga mesti menerima perkahwinan itu.


“Kalau tidak, inilah akan berlaku. Mungkin akan lebih teruk lagi. Kita tunggu dan lihat,” tambah Ismail Sabri.


Kita tidak menafikan kebenaran apa yang Ismail Sabri katakan berkenaan kahwin paksa itu, tetapi jika kita perhatikan, lebih banyak masalah berlaku dalam perkahwinan yang dibentuk berasaskan suka sama suka.


Malah, kalah mahu dikira, mereka yang bercerai dan bergaduh setelah berumahtangga juga lebih banyak berlaku dalam perkahwinan suka sama suka.


Dalam perkahwinan politik sehingga terbentuk dua kerajaan sebelum ini misalnya – pimpinan Mahiaddin Md Yasin dan Ismail Sabri sendiri – kedua-duanya adalah suka sama suka, tetapi nampaknya tetap bermasalah juga.


Maknanya, resepi sebuah kebahagiaan atau hubungan kekal lama tidaklah semata-mata suka sama suka.


Pokoknya, bukan kahwin paksa atau kahwin suka sama suka yang menjadi masalah dalam kelangsungan sesuatu hubungan, sebaliknya sejauh mana mana ada kesediaan bertolak ansur, membuang ego dan menerima seadanya apa yang ada di depan mata.


Di zaman dulu, bukan sedikit berlaku kahwin paksa yang semata-mata ia terjadi kerana kehendak orang tua.


Tetapi, disebabkan sedia bertolak ansur, membuang segala ego dan menerima seadanya apa yang ada di depan mata, bukan saja tiap tahun keluar cahaya mata, bahkan rumahtangga terus kekal selama-lamanya.


Ertinya, cinta boleh muncul atau dibina kemudian, meskipun setelah dikahwinkan secara paksa.


Begitu juga dalam hubungan antara UMNO dan DAP sehingga mereka bersama dalam kerajaan sekarang ini, haruslah difahami bahawa pembentukan kerajaan perpaduan ini adalah atas titah Yang Dipertuan Agong demi menyelesaikan ketidaktentuan dalam negara selepas PRU15 lalu.


Itu pun, perlahwinan UMNO dan DAP berlaku setelah PN dan Mahiaddin yang lebih dulu dititahkan untuk berkahwin dengan PH untuk membentuk kerajaan telah menolak titah Agong itu.


Maka, kalau tidak berlaku kahwin paksa, negara akan terus hura hara dan tiada ketentuannya.


Memanglah sukar untuk menjangkakan kahwin paksa UMNO dan DAP ini mampu bertahan lama, apa lagi selama-lamanya, namun jika mampu bertahan sehingga habis penggal sebelum diadakan PRU16 pun ia sebenarnya sudah lebih daripada memadai.


Untuk itu, pandai-pandailah kedua belah bertolak ansur dan membuang ego masing-masing jika tidak mahu kerajaan ini terlepas ke tangan orang lain.


Cuma, jika kahwin paksa yang ini mampu dijaga dan dipertahankan, bukan saja banyak negeri mudah ditawan, lebih penting Malaysia pun mampu lebih lama dalam genggaman kerajaan perpaduan yang ada sekarang.


Ini kerana, secara realitinya, komposisi kerajaan perpaduan ini adalah mewakili wajah Malaysia pelbagai kaum yang sebenar-benarnya. – ShahbudinHusin 17/04/2023.


https://shahbudindotcom.net/