KAH..KAH...KAU JAJA NAMA ANWAR DAN NAIK ATAS TIKET PKR, KEMUDIAN KAU MENGAKU AMPANG ADALAH SINONIM DENGAN NAMA KAU. ORANG TAHU KAU ADALAH PENGKHIANAT

 

Rodziah tolak Zuraida ada ‘jenama’ di Ampang


Rodziah Ismail berkata Zuraida Kamaruddin mengkhianati PKR melalui Langkah Sheraton pada 2018.

AMPANG: Calon PKR Parlimen Ampang Rodziah Ismail menolak dakwaan bekas penyandang tiga penggal kerusi itu Zuraida Kamaruddin bahawa dia mempunyai “jenamanya” tersendiri di Ampang.

Rodziah sebaliknya berkata, Zuraida telah merosakkan jenama itu kerana mengkhianati PKR melalui Langkah Sheraton pada 2020.

“Jenama itu dia ambil atau pun dia tumpang bawah PKR,” soalnya.

Menurut Rodziah, tiada siapa yang menafikan usaha Zuraida berkhidmat selama tiga penggal, bagaimanapun dengan pengkhianatan yang telah dibuat, pengundi Ampang perlu menolak Zuraida.

“Dengan menolak individu itu, maknanya mereka di Ampang ni cerdik, mereka bukan sahaja fikir sekadar individu, sebab mereka faham mengundi ini adalah untuk memilih kerajaan,” katanya.

Rodziah berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berkaitan dakwaan Zuraida bahawa dia mempunyai jenamanya tersendiri di Parlimen Ampang.

Bekas naib presiden PKR itu memenangi Parlimen Ampang bawah tiket PKR dengan majoriti 41,956 undi dalam pertandingan empat penjuru – BN, PAS, Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Zuraida dilantik ke dalam Jemaah Menteri selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) menumbangkan BN pada 9 Mei 2018.

Bagaimanapun, beliau dipecat daripada PKR bersama bekas timbalan presiden, Azmin Ali selepas menyertai Muhyiddin Yassin menerusi Langkah Sheraton dan menyertai Bersatu. Zuraida kemudian keluar Bersatu dan menyertai PBM pada Mei lalu.

Pada PRU kali ini, Zuraida bakal berdepan persaingan sembilan penjuru dengan pencabar terkuatnya daripada PH iaitu Rodziah.

Sementara itu, ketika ditanya adakah sukar berdepan dengan pengundi Ampang memandangkan beliau calon muka baharu di situ, Rodziah bersyukur “masih bertanding dalam Selangor”.

Rodziah yang juga ADUN Batu Tiga berkata, dia sudah “membuat kerja” di Ampang sejak setahun lalu dan bukan dalam tempoh berkempen ini sahaja.