Perjanjian lantik TPM wujud, saya antara saksi’, kata bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin.
PETALING JAYA: Bekas ketua setiausaha sulit kepada Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, mengesahkan wujud perjanjian antara bekas perdana menteri itu dengan Ismail Sabri Yaakob, mengenai pelantikan jawatan timbalan perdana menteri.
Katanya, perjanjian itu disaksikan dua individu penting daripada Umno dan Bersatu.
“Saya ingin mengesahkan perjanjian ini wujud. Sebagai pegawai perdana menteri kelapan pada waktu itu, saya terlibat secara langsung dalam penyediaan perjanjian ini.
“Ia ditandatangani oleh Muhyiddin dan perdana menteri pada 17 Ogos 2021 dan disaksikan oleh seorang menteri dari parti Bersatu dan seorang menteri dari Umno,” katanya dalam kenyataan.
Marzuki berkata, satu fasal dalam perjanjian itu menyebut bahawa dokumen perjanjian dipersetujui itu, tidak boleh diterbitkan atau dizahirkan dalam apa-apa bentuk, sebaliknya hanya boleh disimpan untuk rujukan kedua-dua pihak.
“Ia hanya boleh disimpan untuk rujukan kedua-dua pihak,” katanya.
Katanya, beliau sendiri terbabit dalam penyediaan perjanjian di antara Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) itu dengan perdana menteri.
Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, menafikan dakwaan Bersatu mengenai kewujudan perjanjian antara Ismail dengan PN berhubung jawatan timbalan perdana menteri.
Beliau bagaimanapun mengakui ada perbincangan mengenai jawatan itu pada awal penubuhan kerajaan pimpinan perdana menteri, namun tidak ada keputusan dicapai.
“Tiada ada janji (perjanjian). Kita ada bincang (jawatan timbalan perdana menteri), tetapi tak ada keputusan,” katanya.
Kelmarin, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan, juga menafikan ada perjanjian seumpama itu bagi melantik timbalan perdana menteri sebelum Ismail menjadi perdana menteri.
Katanya, jika benar perjanjian itu wujud, mengapa baru sekarang ia dibangkitkan oleh sesetengah pihak ketika ini.
Shahril juga mendakwa pelantikan jawatan timbalan perdana menteri tidak pernah dibincangkan dengan mana-mana pihak, termasuk PAS dalam PN.
Pada 2 Jul, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu, berkata ada bertemu dengan Ismail, beberapa hari sebelum itu, untuk membincangkan pelantikan dalam Jemaah Menteri, termasuk jawatan timbalan perdana menteri yang menurutnya berkait dengan perjanjian PN dengan perdana menteri.