ISU PEMBALAKAN DI PAHANG - KERAJAAN NEGERI PAHANG JANGAN JADIKAN RAKYAT SEBAGAI MANGSA





Isu pembalakan samada berlesen atau tidak sering kami timbulkan agar aktiviti ini dapat dikawal dan dipandang serius oleh pihak berkuasa. Aktiviti pembalakan yang tidak terkawal ini bukan sahaja boleh mencemarkan alam sekitar tetapi turut mendatangkan kesan yang buruk kepada rakyat apabila tiba musim tengkujuh.

Malangnya, setiap teguran kami tidak dipandang serius dan seringkali pihak kerajaan negeri memberikan jawapan seolah-olah mereka telah melakukan mengikut peraturan dan terkawal. Terbaru, di dalam musibah banjir yang sedang melanda negeri ini banyak dipaparkan bagaimana kayu-kayu balak bertaburan dihanyut air sehinggakan berlonggok di sungai-sungai sehinggakan menambahkan lagi kesan buruk akibat banjir apabila aliran sungai tersekat dengan batang-batang serta sepihan kayu balak ini. Contohnya yang berlaku di Telemong. Tonton sendiri video yang dibuat secara live di sini https://www.youtube.com/watch?v=Yd2r6hb1yLc&t=96s

Paling membimbangkan, kayu-kayu balak ini turut dihanyutkan air sehingga ke rumah kediaman. Kejadian ini berlaku di Karak dan ianya bukan lagi satu cerita kosong seperti yang cuba dinafikan oleh pihak kerajaan negeri. Sila tonton klip video yang dipetik oleh harian metro di sini http://www.hmetro.com.my/.../trauma-lihat-rumah-ditimpa...

Keadilan Negeri Pahang dengan tegas ingin memberikan amaran kepada kerajaan negeri agar tidak menjadikan rakyat sebagai mangsa dengan kerakusan segelintir beberapa pihak yang mahu mengaut keuntungan. Kami menuntut agar kerajaan negeri melakukan siasatan segera secara lebih telus dan mengambil tindakan tegas ke atas sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan yang terbukti telah melanggar peraturan dan undang-undang dalam aktiviti pembalakan.

Kerajaan negeri harus lebih mengutamakan keselamatan rakyat berbanding dari melindungi taikun-taikun balak yang telah lama menghisap darah rakyat.

WAN FAUZULDIN WAN SAMAD

Ketua Komunikasi

KEADILAN Negeri Pahang

02 Januari 2022