Perdana Menteri telah pun menyampaikan ucapan tahun baru beliau. Dan Yang Di Pertuan Agong pun sudah menyampaikan titah baginda. Tetapi saya masih merasa pilu dan bimbang nasib negara tercinta ini. Saya langsung tidak optimis tentang masa depan kita. Mengapa?
Banyak sebab yang boleh saya berikan tetapi untuk minggu ini memadai hanya dengan satu perkara yang pelik sudah cukup untuk meyakinkan pembaca bahawa Malaysia ini sudah tentu menuju ke arah negara yang akan porak peranda.
Perdana Menteri negara adalah dari parti Umno. Tetapi penyokong kuat beliau ialah Hadi Awang, ketua parti Pas, Mahaiddin Yassin dari Bersatu. Abang Jo dari GPS Sarawak dan Azmin Ali yang mungkin kini dari Parti Bangsa Malaysia.
Saya percaya Umno tak memberi sokongan terhadap Ismail Sabri, kecuali kelompok kluster menteri. Tetapi luar biasanya di Malaysia ini seseorang itu boleh jadi Perdana Menteri tanpa sokongan parti yang mewakili kumpulan rakyat yang terbesar.
Lebih luar biasa ialah beliau juga disokong oleh PH ( yang dikatakan progresif) untuk kekal sehingga satu tarikh baru. Ismail Sabri boleh kekal menjadi Perdana Menteri tanpa mendapat sokongan dari partinya sendiri.
Malaysia telah mencipta satu model kerajaan demokrasi yang unik yang tidak pernah ada di dinia ini, di mana parti-parti rojak bersepakat untuk mengekalkan jawatan masing masing.
Inikah dipanggil kepimpinan demokrasi kuasa rakyat? PH pun selesa dengan kerajaan ini kerana wakil rakyat mereka dapat RM2.5 juta setiap seorang untuk jaga kawasan Parlimen masing-masing.
Apa beza mereka dengan PAS yang dapat jawatan, menteri Umno yang dapat jawatan, GPS yang dapat MA63 dan lain-lain parti yang dapat untung masing-masing?
Kumpulan rojak yang menyokong Ismail Sabri ini tidak mampu melaksanakan tindakan yang tegas untuk mengatasi masalah negara. Ada guru tak mahu ambil vaksin tetapi Menteri Pendidikan takut mengambil tindakan. Menteri Pas tidak mempu mengawal Jabatan Alam Sekitar dan meluluskan projek Lynas tanpa siasatan rapi dan tiada siapa sanggup bersuara.
Menteri Kewangan buat keputusan berkenaan pengeluaran wang KWSP dengan alasan yang dangkal, pun tiada siapa berani menegurnya. Kayu balak sudah habis, minyak Petronas sudah habis untuk biayai projek besar, tapi projek 5G dan pembinaan bangunan tinggi tak ada siapa berani memberi teguran.
Kesimpulannya Perdana Menetri yang dipilih oleh kumpulan rojak ini tidak mampu menunjukkan kuasa dan menyelamatkan negara ini.
Saya lebih rela kita adakan pilihan raya secepat mungkin. Memang ada orang beritahu saya, kalau ini dilakukan, maka kumpulan kluster mahkamah Umno mungkin akan menang. Bagi saya kalau rakyat pilih Najib Razak, Zahid Hamidi, Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ahmad Maslan, kita sepatutnya terima keputusan itu.
Itulah kelebihan demokrasi. Kita hormat keputudsan rakyat. Kita berttindak atas keputusan ramai. Jangan ingat kita sahaja ada moral, tahu apa yang baik untuk negara ini, tahu siapa yang boleh memimpin.
Kalau kita tidak sanggup menerima keputusan rakyat, tidak perlulah kita adakan pilihan raya. Ambil sajalah wang RM900 juta bagi memgurus pilihan raya dan bahagikannya kepada wakil rakyat yang ada, termasuk daripada PH juga. Dengan cara itu mereka akan terus pilih dan sokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
ZAID IBRAHIM
Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.
Sumber – https://www.facebook.com/100045060983840/posts/458577848987577/?d=nIII