Panas! Pemimpin Umno tempelak Hadi sibuk nak jaga tepi kain parti lain
Umno meminta PAS agar untuk tidak sewenang-wenangnya memberikan komen yang menyentuh isu dalaman parti lain seperti yang dilakukan Abdul Hadi Awang pagi tadi.
Ketua Penerangan Umno Malaysia Shahril Hamdan berkata sepertimana dia tidak wajar untuk mengajar PAS mengenai cara mengurus hal dalaman parti mereka, perkara yang sama diharapkan daripada Abdul Hadi.
Katanya rakan sekutu Umno wajar menghormati “decorum” dalam hubungan antara parti dan mengelak daripada membuat komen bagi pihak Umno.
“Tanpa mengurangkan hormat kepada Presiden PAS, saya menganggap kenyataan (Abdul Hadi) mengenai pendirian majoriti ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebagai kenyataan yang kurang wajar dikeluarkan oleh pimpinan parti lain.
“Sama ada majoriti ahli MKT menyokong atau tidak menyokong sesuatu perkara, ia menjadi rahsia dalaman mesyuarat yang tidak wajar diiklankan atau disahkan di luar.
“Yang penting ialah pendirian dan keputusan parti kelak,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook petang ini.
Terdahulu semasa ditemui media di Rusila pagi tadi Abdul Hadi mendakwa sebahagian besar anggota MKT Umno cenderung untuk terus bekerjasama dengan PAS.
Sudah diulas berkali-kali
Malah ahli parlimen Marang itu menambah Umno wajar mengikut ketetapan yang dibuat kepimpinan MKT dan bukannya suara di peringkat bahagian.
Duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu juga berpendapat penetapan pendirian itu sepatutnya tidak mengikut acuan “de timokrasi Barat”.
Shahril berkata seperti organisasi lain yang punyai struktur sendiri, sesuatu keputusan dibuat hanya selepas ia dimurnikan dan selepas itu barulah pendirian rasmi dikeluarkan.
“Soal pandangan mana-mana individu yang dibincang atau dibahas dalam mesyuarat, itu soal dalaman organisasi yang tak perlu dispekulasi oleh pihak lain.
“Apatah lagi semua ahli MKT telah bersumpah (menyimpan) rahsia sejak awal penggal lagi,” tegasnya.
Pada masa sama, Shahril berkata, dalam isu Muafakat Nasional (MN) Umno tidak pernah sesekali menolaknya seperti yang ditegaskan secara rasmi oleh Perhimpunan Agung Umno 2020.
Pun begitu katanya tindakan politik PAS meletakkan Umno dalam keadaan sukar.
Menurut Shahril lagi keputusan Umno mahu mempertahankan MN perlu diselaraskan dengan satu lagi ketetapan iaitu menolak kerjasama dengan Bersatu semasa PRU ke-15.
“Maka, apabila PAS bertegas mahu meneruskan jalinan kerjasama pilihan raya bersama Perikatan Nasional, maka ia meletakkan Umno dalam keadaan sukar untuk merancakkan MN seperti mana – sehingga terpaksa ada pertembungan pelbagai penjuru – apatah lagi jika PAS bertanding atas lambang PN seperti di PRN Melaka,” tambahnya.
Jelas Shahril, semua perkara ini telah diulas berkali-kali dan umum mengetahui dilema yang wujud adalah disebabkan pendirian PAS.
Meskipun begitu, kata Shahril, yang paling penting ialah Umno menghormati pendirian PAS dan tidak memaksa PAS melakukan apa-apa yang mereka tidak rela.
“Sebagai tanda keikhlasan persahabatan, harapnya PAS juga menghormati pendirian Umno dan tidak memaksa kami atau menghebahkan spekulasi dengan harapan kami melakukan sesuatu yang sememangnya sukar – khususnya berkenaan hubungan bersama pihak ketiga.
“Mungkin dengan penghormatan dua hala itu, barulah ada sinar untuk menyelamatkan sekurang-kurangnya sebahagian daripada kerjasama yang pernah mewarnai pentas politik penggal ini,” katanya.